KENDERAAN pemilik ladang hanyut akibat banjir di Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kahang, Kluang. FOTO arkib NSTP
KENDERAAN pemilik ladang hanyut akibat banjir di Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kahang, Kluang. FOTO arkib NSTP
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat lagi kepada 41,543 orang (11,818 keluarga) setakat jam 12 tengah hari ini, berbanding 40,141 orang (11,468 keluarga) pada jam 8 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, peningkatan jumlah mangsa banjir itu membabitkan tiga daerah iaitu Batu Pahat, Muar dan Kluang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, Batu Pahat terus menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa banjir apabila bertambah kepada 29,341 orang (8,278 keluarga) di 94 pusat pemindahan sementara (PPS).

"Di Muar pula, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,123 orang (1,240 keluarga) di 21 PPS, manakala Kluang bertambah tiga orang menjadi 1,313 mangsa (367 keluarga) di 12 PPS," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Segamat, Pontian dan Kota Tinggi pula terus menunjukkan trend penurunan apabila beberapa mangsa banjir di daerah berkenaan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

"Di Segamat kini tinggal 1,924 mangsa banjir (482 keluarga) di 32 PPS; Kota Tinggi pula semakin berkurang menjadi 1,070 orang (306 keluarga) di sembilan PPS dan Pontian terus berkurangan kepada 74 mangsa (18 keluarga) di sebuah PPS yang masih beroperasi," katanya.

Selain itu, Azmi berkata, Tangkak dan Mersing pula masih kekal dengan jumlah mangsa banjir seperti pagi tadi iaitu masing-masing dengan 2,536 orang (780 keluarga) di 23 PPS dan 1,162 mangsa banjir (347 keluarga) di enam PPS.

Menurut Azmi, sebanyak tiga PPS baru dibuka, namun tiga juga ditutup menjadikan jumlah PPS yang masih beroperasi sebanyak 198 di lapan daerah yang terjejas banjir.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tiada mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan atau ribut petir di semua daerah di Johor dan laporan cuaca sebenar juga menunjukkan semua daerah di negeri ini dilaporkan tidak hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 12:26 PM