Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, dibawa ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor pagi tadi. FOTO BERNAMA
Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, dibawa ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor pagi tadi. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuantan: Kediaman Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, di Taman Seri Mahkota Jaya, Gambang di sini menjadi tumpuan orang ramai termasuk kenalan serta warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hadir menyantuni keluarga Allahyarham.

Pekarangan kediaman Muhamad Syafiq mula menjadi tumpuan sejak awal pagi tadi berikutan jenazah Allahyarham dari Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dijangka dibawa pulang ke rumahnya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8 Gambang petang ini.

Ibu bapa Allahyarham, Ahmad Said Md Piah, 65, dan Aini Mohd Shariff, 57 kelihatan tenang menerima tetamu dan sesekali dilihat menyeka air mata kerana terkesan dengan pemergian anak ketujuh daripada lapan beradik itu.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar Pahang (Hal Ehwal Islam) Yunan Abdul Samad yang mewakili Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut hadir menyerahkan sumbangan RM8,000 kepada Ahmad Said.

Yunan ketika ditemui berkata Wan Rosdy merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan atas kehilangan insan tersayang.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi semalam, Muhamad Syafiq dan rakannya Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 maut selepas diserang seorang lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang manakala seorang lagi anggota Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.

Polis mengesahkan suspek lelaki berusia 21 tahun ditembak mati dalam kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 2:22 PM