Mohd Farid Firdaus (dua dari kiri) bersama isteri Isyarah (kiri sekali), Mohamad Fadzli (tiga dari kiri), Nurul Fitriyah (empat dari kiri) bersama suami Mohd Ridzuan (lima dari kiri), Mohd Aziza (enam dari kiri) bersama Nurul Adilah Farhana dan Nurul Syakila mengambil gambar berlatar belakangkan Masjid Al-Haram ketika baru sampai di Tanah Suci Makkah - FOTO Husain Jahit
Mohd Farid Firdaus (dua dari kiri) bersama isteri Isyarah (kiri sekali), Mohamad Fadzli (tiga dari kiri), Nurul Fitriyah (empat dari kiri) bersama suami Mohd Ridzuan (lima dari kiri), Mohd Aziza (enam dari kiri) bersama Nurul Adilah Farhana dan Nurul Syakila mengambil gambar berlatar belakangkan Masjid Al-Haram ketika baru sampai di Tanah Suci Makkah - FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: "Walau apa pun terjadi ketika kamu menunaikan haji di Makkah, ibu dan papa tetap reda," demikian menurut Nurul Adilah Farhana Abdul Wahab, 36, ketika menceritakan kata-kata ibunya seorang pesara Ketua Jururawat, Norani Muhammed Nor, 60, yang mempunyai pengalaman mengerikan serta tragik ketika beliau mengerjakan haji pada 2015.

Nurul Adilah Farhana berasal dari Kubang Kerian, Kelantan bersama empat orang adik serta suami dan dua iparnya pergi bersama menunaikan haji di Makkah pada tahun ini.

Menceritakan mengenai pesan ibu, Nurul Adilah Farhana, berkata ibu berpesan supaya dia adik-beradik menjaga diri, terus bersatu, jangan sekali-kali berpecah, sentiasa jalan bersama dan sentiasa berdoa kepada Allah, insya-Allah akan dimakbulkan segala doa ketika di Tanah Suci.

"Ibu dan papa (Abdul Wahab Mat Saad) sudah berkorban sebaik kami dilahirkan. Mereka membuka akaun Tabung Haji untuk kita semua sejak kecil. Walaupun gaji ibu dan papa tidak besar, tetapi mereka menabung secara konsisten, biarpun pernah bermula dengan RM20 sebulan," katanya sambil teresak-esak dek sebak apabila bercerita mengenai pengalaman ibu dan bapanya.

"Ibu mahukan kami pergi menunaikan haji bersama dan sekarang hajat ibu serta papa yang mahu semua anaknya menunaikan haji di usia muda termakbul hasil perancangan serta pengorbanan selama lebih 18 tahun."

"Mereka lepaskan tanggungjawab apabila kami semua menjangkau usia 18 tahun dan kami pula mengambilalih yang akan menyimpan sendiri ke dalam akaun Tabung Haji. Tidak kira simpanan dari duit raya mahupun gaji dan sebagainya," katanya lagi kepada Petugas Media, di sini semalam.

Tahun ini, lima daripada enam anak bersama tiga menantu dapat menjejakkan kaki ke Makkah sebagai dhuyufurrahman biarpun pasangan suami isteri tersebut tidak dapat bersama-sama mereka.

Selain Nurul Adilah sebagai anak sulong, anak kedua Mohd Farid Firdaus, 35, anak ketiga Nurul Fitriyah, 32, anak keempat Mohamad Fadzli, 29 dan Nurul Syakila, 27.

Manakala menantu mereka Mohd Aziza Azhari, 36, Mohd Ridzuan Mohamed Senawi, 35, serta Isyarah Ibrahim, 36.

Menurut anak keempat mereka, Mohamad Fadzli Abdul Wahab 29, kedua ibu bapanya mahu mereka mengerjakan haji di usia muda agar dapat melaksanakan ibadat dalam keadaan sihat.

"Walaupun kami berfikir untuk membawa ibu bapa bersama, tetapi ditolak oleh ibu kerana mereka sudah pergi dan kali ini biarlah mereka menjaga cucu-cucu seramai sembilan orang berumur setahun hingga lapan tahun di rumah dan seorang lagi adik bongsu Nurul Aisyah Zulaikha yang masih berumur 13 tahun," katanya lagi.

"Kami didaftarkan secara serentak pada tahun 2009 oleh ibu dan papa kami. Apabila berumur 18 tahun kami teruskan tabungan terbabit sehinggalah permohonan kami diterima serentak," katanya lagi.

Bagi Mohd Farid Firdaus Abdul Wahab 35, kehidupan mereka tidak semudah yang disangka walaupun kedua ibu bapanya bekerja.

"Dulu kami susah. Ibu pun bermula dari peringkat bawah, namun dia sanggup untuk membuat potongan gaji sikit demi sikit.

"Walaupun susah ibu tetap bertahan. Tapi itulah pengorbanan seorang ibu yang kita tidak tahu kesusahan ditanggung mereka sehingga tinggal beberapa ringgit sahaja. Dan atas pengorbanan mereka, kami dapat menunaikan haji secara serentak," ujarnya.

Menurutnya, ibu pun sentiasa menasihatkan mereka semua, apabila sudah ada anak maka mulalah menabung secara bulanan di Tabung Haji dan segera mendaftar apabila mereka berumur 18 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 2:04 PM