Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Seramai 1,882 lagi mangsa banjir diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 46,742 orang daripada 13,552 keluarga.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, daerah yang menunjukkan peningkatan ketara adalah Batu Pahat yang kini mencatatkan 15,915 mangsa banjir (4,616 keluarga) yang ditempatkan di 62 PPS.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, selain Batu Pahat, Muar juga menunjukkan peningkatan jumlah mangsa banjir iaitu 4,103 orang (1,214 keluarga) di 24 PPS.

"Lima daerah pula mencatatkan penurunan iaitu Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Pontian.

"Segamat kini terdapat 13,319 orang (3,895 keluarga) dipindahkan ke 77 PPS; Kluang dengan 5,270 orang (1,525 keluarga) di 41 PPS; Kota Tinggi menempatkan 3,249 (865 keluarga) di 20 PPS; Johor Bahru dengan 511 mangsa (174 keluarga) di empat PPS dan Pontian terdapat 330 mangsa (86 keluarga) di empat PPS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Azmi, tiga lagi daerah pula kekal dengan jumlah mangsa banjir sejak dari pagi tadi iaitu Tangkak dengan 3,007 mangsa banjir (868 keluarga) di 25 PPS; Mersing dengan 975 orang mangsa (292 keluarga) di enam PPS yang masih beroperasi dan Kulai dengan 63 mangsa (15 keluarga) di satu PPS.

Azmi berkata, empat PPS baharu juga dibuka di Batu Pahat menjadikan keseluruhan 264 PPS masih beroperasi kini.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat mangsa banjir di PPS SJK (C) Kampung Tengah, Segamat. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat mangsa banjir di PPS SJK (C) Kampung Tengah, Segamat. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 1:17 PM