FAISAL Wahid (tiga dari kiri). FOTO Zaid Ayid
FAISAL Wahid (tiga dari kiri). FOTO Zaid Ayid
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) diminta lebih telus tanpa berselindung mengenai hukuman yang bakal dikenakan kepada Selangor FC susulan keputusan tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), baru-baru ini.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC) Mohd Faizal Wahid berkata, MFL perlu terus menjatuhkan hukuman kepada Selangor FC dan tidak melengahkannya sehingga saingan masuk pertengahan liga.

Beliau berkata, ketika ini penyokong bola sepak tanah air masih berteka-teki apa yang bakal menimpa Selangor FC apabila MFL bertindak berdiam diri membabitkan hukuman terhadap pasukan itu.

"Seharusnya MFL tidak melengahkan hukuman. Kita tahu Selangor akan ditolak tiga mata selepas tarik diri daripada Piala Sumbangsih yang juga perlawanan pertama Liga Super.

"Namun, hukuman tambahan kita belum tahu apa yang akan dikenakan nanti.

"Jika ada pemotongan mata tambahan sudah tentu ia akan memberikan kesan kepada pasukan bukan sahaja kedudukan dalam liga tetapi juga moral para pemain.

"Sekurang-kurangnya jika hukuman diketahui awal, Selangor akan dapat bersedia dan merangka perancangan teliti," katanya.

Terdahulu, Selangor FC membuat permohonan kepada MFL untuk menunda Piala Sumbangsih atas alasan keselamatan susulan insiden Faisal yang disimbah asid selain ugutan diterima oleh beberapa orang pengurusan kelab itu.

Bagaimanapun, MFL menolak permohonan tersebut sekali gus menyebabkan Selangor membuat keputusan untuk menarik diri mengambil kira insiden tersebut selain ancaman yang berlaku melibatkan berapa pemain dan pegawai pasukan itu.

Tindakan Selangor menarik diri itu bakal mengundang hukuman dan badan pengelola liga itu akan membawa isu penarikan diri ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi tindakan selanjutnya.

Selain itu, Faizal juga meminta MFL mengadili dengan adil kes penarikan diri Selangor itu dan melihat kepada situasi semasa yang berlaku.

"Saya harap tidak ada 'double standard' dalam menjatuhkan hukuman. Lagipun penarikan diri Selangor kerana keselamatan yang mungkin akan memberikan kesan kepada pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 1:52 PM