Skuad hoki lelaki dalam dewan pada saingan Piala Sultan Nazrin Shah, hujung tahun lalu. - Foto ihsan MHC
Skuad hoki lelaki dalam dewan pada saingan Piala Sultan Nazrin Shah, hujung tahun lalu. - Foto ihsan MHC
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menyenaraikan 12 pemain terbaik yang akan menggalas cabaran Malaysia dalam kejohanan Piala Asia hoki dalam dewan yang akan berlangsung di Taldykorgan, Kazakhstan dari 21 sehingga 25 Mei depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan MHC, Shurizan Mansor berkata, beliau ingin pemain mempamerkan aksi terbaik dan mara sehingga ke final sekali gus mengekalkan kejuaraan namun menyedari cabaran yang bakal dilalui juga amat getir buat skuad negara di kejohanan berkenaan.

Sekiranya perkara itu terjadi, Malaysia akan dapat slot automatik ke pusingan akhir Piala Dunia Hoki Dalam Dewan yang akan berlangsung di Croatia awal tahun hadapan kerana kejohanan itu menawarkan dua slot kepada pasukan yang berjaya ke pentas akhir.

"Pasukan kali ini memiliki barisan pemain terbaik dan saya berharap komitmen yang tinggi akan diberikan pemain selain berjuang bermati-matian demi Malaysia.

"Walaupun kumpulan kami dihuni oleh tuan rumah, Kazakhstan dan pencabar terdekat, Indonesia, sasaran pertama pasukan adalah kami perlu melepasi pusingan pertama dengan muncul selaku dua pasukan terbaik. Kemudian, kami akan melihat sasaran yang kedua apabila memasuki pusingan seterusnya.

"Sekiranya Malaysia berjaya melangkah ke final ia akan menjadi sejarah untuk sukan ini khususnya di mana ia merupakan kali pertama Malaysia ke Piala Dunia dan pastinya akan membuka ruang untuk lebih banyak perhatian serta bantuan diberikan kepada pasukan,"katanya.

Sementara itu, bagi ketua jurulatih, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi, beliau menyatakan pemilihan pemain dipilih berdasarkan kebolehan teknikal serta taktikal individu selain kecergasan, semangat satu pasukan dan disiplin pemain itu sendiri menjadi aspek penting yang dinilai.

"Penilaian menyeluruh kami barisan kejurulatihan telah lakukan dan dengan adanya sembilan pemain daripada skuad 2022, diharap mereka dapat memperkuatkan lagi pasukan ditambah dengan kehadiran tiga lagi pemain baru.

"Barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan percaya 12 pemain yang dipilih ini mampu untuk menggalas tugas dengan sebaiknya. Pasukan telah melakukan persiapan rapi merangkumi persediaan kecergasan, teknikal, serta taktikal yang telah bermula pada bulan Ramadan lagi.

"Beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan Singapura dan juga pasukan Thailand telah dijalani pasukan di mana perlawanan persahabatan tersebut membantu kami untuk menilai kelemahan dan kelebihan yang dimiliki untuk di bawa ke kejohanan ini," katanya.

Menerusi undian awal yang telah dijalankan oleh Persekutuan Hoki Asia (AHF), Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama tuan rumah, Kazakhstan, Oman dan Indonesia sementara Kumpulan A menyaksikan persaingan antara Iran, Thailand, Singapura, dan Tajikistan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 2:06 PM