Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat apabila tiga daerah iaitu Batu Pahat, Muar dan Tangkak, masing-masing menunjukkan pertambahan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah masing-masing.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, setakat jam 8 malam tadi, negeri ini mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 40,008 orang (11,383 keluarga) di 200 PPS.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, Batu Pahat terus menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa banjir apabila bertambah kepada 27,289 orang (7,709 keluarga) di 89 PPS.

"Di Muar pula, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,079 orang (1,225 keluarga) di 21 PPS, manakala Tangkak, jumlah mangsa banjir meningkat menjadi 2,491 orang (767 keluarga) di 22 PPS," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Azmi, empat daerah lain pula, Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Pontian masing-masing menunjukkam trend menurun.

Katanya, Segamat kini terdapat seramai 2,158 mangsa banjir (541 keluarga) di 35 PPS dan Kluang terdapat seramai 1,386 mangsa (388 keluarga) di 12 PPS.

"Mangsa banjir di Kota Tinggi pula semakin berkurang menjadi 1,336 orang (377 keluarga) di 12 PPS dan Pontian pula dengan 107 mangsa (29 keluarga) di tiga PPS.

"Hanya Mersing kekal dengan 1,162 mangsa banjir (347 keluarga) di enam PPS," katanya.

Pasa masa sama, Azmi berkata, sebanyak tujuh PPS baharu dibuka setakat 8 malam tadi, tetapi terdapat lapan PPS yang ditutup.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir atau hujan lebat di Mersing dan Kota Tinggi yang diramalkan berlaku malam ini.

Setakat ini, laporan cuaca sebenar pula menunjukkan semua daerah di negeri ini dilaporkan tidak hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 11:25 PM