Syaherah Mustafa


Bachok: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Ahmad Fadhlullah Mohamad, 12, yang hilang di Pantai Kemayan di sini, bersambung semula 7 pagi esok.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, operasi itu yang membabitkan kerjasama pelbagai agensi penyelamat ditangguhkan pada 7.30 malam tadi.

Katanya, kawasan pencarian mangsa juga akan diperluas melebihi radius satu kilometer (km) dari lokasi dia hilang.

"Seramai 67 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terbabit dalam SAR ini.

"Pihak kami berhadapan kesukaran akibat ombak besar, namun akan cuba sedaya upaya untuk mencari mangsa," katanya hari ini.

Ahmad Fadhlullah dilapor hilang dan dipercayai lemas selepas cuba menyelamatkan anak saudaranya, Muhammad Nabil Irfan Ismail Mokhtar, 11, yang tergelincir dari benteng batu di Pantai Kemayan pada 8 pagi, hari ini.

MOHAMAD Zohan (kanan) memantau lokasi SAR di Pantai Kemayan, FOTO Syaherah Mustafa
MOHAMAD Zohan (kanan) memantau lokasi SAR di Pantai Kemayan, FOTO Syaherah Mustafa

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 10:18 PM