Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nor Amalina Alias


Bachok: Kira-kira sejam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Ahmad Fadhlullah Mohamad ditutup, satu lagi kejadian lemas membabitkan kanak-kanak berlaku di Pantai Kemayan.

Muhammad Iman Mikail Muhammad Sabri, 8, lemas selepas mandi dekat benteng batu di kawasan sama Ahmad Fadhlullah, 12, terjatuh semalam.

Mayat Muhammad Iman bagaimanapun terus ditemui dengan bantuan anggota bomba, PBK 1 Ahmed Mazdan Jusoh yang kebetulan berada di lokasi.

Ahmed Mazdan berkata, dia sedang bercuti namun ke pantai itu untuk melihat perkembangan kes Ahmad Fadhlullah.

"Saya sampai pada 4.30 petang, SAR (operasi mencari dan menyelamat) sudah ditutup kerana mangsa sudah dijumpai, tetapi tiba-tiba saya terdengar jeritan minta tolong.

"Saya bergegas mencari (bunyi suara) dan kira-kira 100 meter di benteng batu (dari tempat dia berdiri), ternampak kanak-kanak lemas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmed Mazdan berkata, kejadian berlaku sangat pantas dengan kanak-kanak itu dilihatnya dibawa arus ombak.

Katanya, dia kemudian terjun ke laut untuk menarik Muhammad Iman bersama beberapa individu lagi apabila jasad kanak-kanak itu menghampiri benteng batu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 5.45 petang dan mangsa yang beralamat di Kampung Lorong Haji Mahmood, Pengkalan Chepa dipercayai datang ke pantai itu bersama bapa saudaranya.

"Semasa mangsa serta bapa saudara dan rakannya sedang mandi, tiba-tiba ombak kuat menarik mangsa ke tengah laut.

"Bapa saudara mangsa cuba menyelamatkannya namun gagal. Mayat mangsa dibawa ke Klinik Beris Panchor dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Mohamad berkata, susulan dua kejadian itu, pihaknya mencadangkan kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok untuk memasang papan tanda larangan mandi di kawasan itu.

Beliau juga meminta orang ramai agar menjaga keselamatan dan tidak melakukan aktiviti air ketika tempoh ombak kuat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 9:07 PM