Nor Amalina Alias


Bachok: Mayat kanak-kanak yang dipercayai lemas di Pantai Kemayan, dekat sini, ditemukan di pesisir Pantai Senok, kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Mangsa, Ahmad Fadhlullah Mohamad, 12, ditemukan orang awam yang kemudiannya menelefon polis jam 1.40 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, mayat kanak-kanak itu yang memakai baju dan seluar hitam ditemukan orang awam kira-kira 25 meter dari pantai.

"Orang awam kemudian menarik mangsa ke tepi pantai dan mayat dikenal pasti ahli keluarga," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat.

Katanya, dengan penemuan mangsa, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup jam 3 petang tadi.

Mohamad Ismail berkata, polis menasihati orang awam supaya lebih berwaspada berada di kawasan pesisir pantai, terutamanya musim ombak kuat ketika ini.

"Mereka boleh berkunjung ke kawasan pantai namun elakkan mandi-manda dan sentiasa mengutamakan keselamatan," katanya.

Terdahulu, Ahmad Fadhlullah dikhuatiri lemas selepas dia cuba menyelamatkan anak saudaranya, Muhamad Nabil Irfaan Ismail Mokhtar, 11, yang tergelincir daripada benteng batu ketika mereka bersama ahli keluarga bercuti di Pantai Kemayan, jam 8 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, Muhamad Nabil berjaya diselamatkan manakala seorang lagi mangsa iaitu kakak Fadhlullah, Nurul Afiqah Mohamad, 19, masih dirawat di HRPZII.

ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang ditemukan di Pantai Senok. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang ditemukan di Pantai Senok. FOTO ihsan polis

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 3:35 PM