DR Aizai berucap ketika Persidangan Kegagalan Jantung 2023 IJN. FOTO Aziah Azmee
DR Aizai berucap ketika Persidangan Kegagalan Jantung 2023 IJN. FOTO Aziah Azmee
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Obesiti menjadi faktor utama yang menyebabkan risiko penyakit berkaitan jantung kekal menjadi penyebab utama kematian di Malaysia sejak sekian lama.

Ketua Pegawai EksekutifInstitut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, hampir 50 peratus pesakit jantung mempunyai kriteria obesiti.

Menurutnya, ia berdasarkan kaji selidik dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) setiap lima tahun yang menunjukkan beberapa faktor risiko penyakit berkenaan di negara ini.

"Di Malaysia faktor risiko utama masih obesiti. Hampir 50 peratus daripada kaji selidik mempunyai kriteria obesiti.

"Yang kedua ialah masalah darah tinggi diikuti kencing manis yang mana lebih kurang 20 peratus rakyat kita mempunyai penyakit kencing manis dan masalah kolestrol," katanya ketika ditemui pada Persidangan Kegagalan Jantung 2023 IJN, hari ini.

Turut hadir persidangan berkenaan ialah Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sani yang turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum antara IJN dan syarikat teknologi perubatan terbesar di Amerika Syarikat,Medtronic.

Dr Aizai Azan berkata, seorang pesakit juga boleh mempunyai beberapa faktor risiko yang menyumbang kepada masalah berkenaan seperti berkemungkinan mempunyai kencing manis dan darah tinggi selain seorang perokok.

"Kajian menunjukkan pesakit kita jarang ada satu faktor risiko. Kebanyakan pesakit yang mempunyai masalah jantung itu sekurang-kurangnya ada dua atau tiga faktor risiko yang menyebabkannya menghidap penyakit jantung," katanya.

Bagaimanapun katanya, faktor risiko berkenaan tidak boleh diubah tetapi ia boleh dikawal sekali gus dapat mengurangkan keberangkalian untuk mendapat penyakit jantung.

Menurutnya, 16,325 kematian di negara ini akibat penyakit itu dicatatkan pada 2020 dengan 70 peratus adalah lelaki dan bakinya adalah wanita yang berusia 41 tahun dan ke atas.

"Jadi untuk rawatan masalah jantung itu memang memerlukan kaedah yang lebih luas bukan saja untuk fokus kepada satu penyakit dan beberapa penyakit.

"Kita perlu membuat saringan awal,jadi lebih cepat kita boleh mencegah rakyat kita daripada meninggal dunia akibat penyakit jantung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 5:19 PM