KEBANYAKAN individu tidak menyedari bahawa mereka mengalami masalah penyakit itu sehingga mereka berdepan dengan gejala berkenaan. - FOTO Google
KEBANYAKAN individu tidak menyedari bahawa mereka mengalami masalah penyakit itu sehingga mereka berdepan dengan gejala berkenaan. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Penyakit jantung mengakibatkan kematian yang lebih ramai berbanding kemalangan jalan raya dan ia juga diakui antara salah satu punca utama kematian dalam kalangan rakyat di negara ini.

Menurut statistik, 17 peratus kematian di Malaysia berpunca daripada penyakit jantung iskemik (atau arteri koronari) iaitu satu kategori penyakit jantung yang paling biasa berlaku.

Ia disebabkan kesempitan dalam pengumpulan arteri yang membekalkan jantung dengan darah dan seterusnya mendatangkan masalah kekurangan bekalan darah ke jantung.

Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman, Hospital Pakar Regency, Dr Ang Kai Ping berkata, apabila pengumpulan yang dikaitkan dengan deposit kolesterol menyempitkan saluran jantung dan menyekat aliran darah, ia akan menyebabkan sesak nafas, sakit dada atau serangan jantung.

Bagaimanapun, kebanyakan individu tidak menyedari bahawa mereka mengalami masalah penyakit itu sehinggalah mereka berdepan dengan gejala berkenaan.

Kata Dr Ang, serangan jantung boleh merosakkan otot jantung yang mengakibatkan kematian otot terutamanya jika tidak dirawat dan seterusnya membawa kepada kegagalan jantung seseorang.

Menurutnya, di Malaysia, bilangan kes penyakit kardiovaskular (CVD) di Institut Jantung Negara (IJN) meningkat sebanyak lima peratus setiap tahun.

"Terdapat juga 10,000 kes kardiologi dan hipertensi serta kira-kira 4,000 kes pembedahan jantung dalam satu tahun.

"Faktor risiko yang menyumbang kepada penyakit jantung termasuk risiko sedia ada serta risiko berasaskan gaya hidup.

"Risiko sedia ada yang tidak dapat dielakkan termasuklah risiko penyakit warisan keluarga (genetik) manakala sejumlah besar risiko berasaskan gaya hidup boleh diuruskan jika beberapa perubahan dilakukan," katanya.

TEKANAN darah tinggi, kolesterol tinggi, kencing manis, obesiti, faktor gaya hidup seperti kurang bersenam, tekanan, diet tidak sihat dan merokok ada faktor yang boleh meningkatkan risiko penyakit jantung. - FOTO Google
TEKANAN darah tinggi, kolesterol tinggi, kencing manis, obesiti, faktor gaya hidup seperti kurang bersenam, tekanan, diet tidak sihat dan merokok ada faktor yang boleh meningkatkan risiko penyakit jantung. - FOTO Google

Jelas beliau lagi, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit kardiovaskular menyumbang 17.9 juta kematian penyakit tidak berjangkit (NCD) di seluruh dunia, hampir 44 peratus daripada NCD setiap tahun.

Dr Ang berkata, sesiapa sahaja boleh menghidap penyakit jantung namun terdapatnya beberapa faktor risiko yang boleh meningkatkan risiko penyakit jantung berlaku.

Ia termasuklah keadaan kesihatan sedia ada seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, kencing manis, obesiti, faktor gaya hidup seperti kurang bersenam, tekanan, diet tidak sihat dan merokok.

Apa yang membimbangkan kata Dr Ang, kajian terbaru menunjukkan peningkatan kelaziman rakyat Malaysia yang didiagnosis dengan penyakit jantung pada usia yang lebih muda berbanding sebelum ini.

Kajian mengenai semakan penyakit arteri koronari di Malaysia menunjukkan bahawa umur rakyat di negara ini yang berisiko menghidapi Sindrom Kardiovaskular Akut (ACS) adalah antara 55.9 dan 59.1 tahun berbanding individu dari negara maju yang didiagnosis antara 63.4 dan 68 tahun.

"Apabila seseorang pesakit mengalami serangan jantung pertama, pesakit berkenaan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk serangan jantung yang lain atau strok tanpa mengira usia.

"Salah seorang pesakit saya hanya berusia 26 tahun ketika dia mengalami serangan jantung akibat jantungnya tersumbat tetapi syurkurlah dia berjaya menjalani angiografi jantung dnegan segera dan pulih.

"Namun, pesakit berkenaan berkemungkinan memerlukan pemeriksaan tahunan secara berkala di samping membawa perubahan kepada gaya hidupnya untuk mengelakkan serangan jantung yang lain daripada berulang sepanjang hayatnya," katanya.

Dalam pada itu, Dr Ang berkata, amalan merokok juga dikenal pasti sebagai faktor risiko yang ketara untuk penyakit jantung iskemik atau koronari berbanding faktor risiko lain.

Menurut data WHO, amalan merokok menentukan 10 peratus daripada semua penyakit kardiovaskular.

"Merokok adalah faktor risiko bagi sebilangan besar pesakit yang menghidapi penyakit jantung, jadi, berhenti merokok juga boleh membantu pesakit untuk mengurangkan risiko penyakit jantung berulang.

"Berdasarkan pengalaman klinikal, salah seorang pesakit lelaki berumur 58 tahun yang menjalani prosedur angioplasti koronari Intra-aortic Balloon Pam (IABP) untuk merawat keadaan jantungnya selepas serangan jantung dan berjaya berhenti merokok ketika pemulihannya, menunjukkan hasil yang memberangsangkan ketika saringan susulan dan tahunannya.

"Secara tidak langsung, risiko untuk penyakit jantung berulang juga turut berkurangan," katanya.

MELAKUKAN banyak aktiviti fizikal dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung. - FOTO Google
MELAKUKAN banyak aktiviti fizikal dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung. - FOTO Google

Sementara itu, masyarakat juga perlu dididik mengenai cara untuk mencegah penyakit jantung dengan mengamalkan perubahan kepada tabiat pemakanan dan gaya hidup.

Meskipun beberapa faktor risiko penyakit jantung tidak dapat dielakkan, beberapa perubahan gaya hidup boleh membantu mencegah atau mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

Umpamanya, melakukan banyak aktiviti fizikal yang dapat membantu mengurangkan risiko menghidapi penyakit jantung atau menambah baik keadaan pesakit yang mempunyai penyakit jantung sedia ada selain mengurangkan risiko komorbiditi lain.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengamalkan diet harian yang sihat termasuk mengurangkan pengambilan sodium dan lemak untuk membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

Pengamalan diet secara sederhana merangkumi lebih banyak sayuran dan jumlah daging yang sederhana serta kurang minyak dan garam adalah penting.

Selain itu, tekanan juga didapati memainkan peranan dalam risiko penyakit kardiovaskular dan tekanan psikologi boleh menggandakan risiko mendapat serangan jantung.

Jadi, kurangkan tahap tekanan anda dengan lebih banyak senaman, meditasi dan mendapatkan tidur yang berkualiti untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

"Apapun, jangan lupa untuk mula memantau kesihatan jantung adalah dengan menjalani peperiksaan saringan kesihatan yang merangkumi penilaian risiko jantung.

"Pengesanan dan rawatan awal secara signifikan dapat mengurangkan risiko kematian akibat penyakit jantung kerana ia dapat dicegah dari awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 8:32 AM