Zaid Salim

Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu sudah melupuskan 108 buah bot nelayan Vietnam yang dianggarkan bernilai RM162 juta.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, proses pelupusan dilakukan dengan menenggelamkan bot terbabit untuk dijadikan tukun tiruan di sepanjang perairan negeri ini.

Beliau berkata, semua bot yang dilupuskan itu dirampas pihaknya menerusi beberapa siri operasi dan sudah dilucut hak oleh mahkamah atas kesalahan menceroboh serta menangkap ikan di perairan negara.

"Sejak 2010 hingga kini, kita sudah menenggelamkan sebanyak 108 buah bot nelayan Vietnam dan paling banyak di perairan Pulau Susu Dara, Besut iaitu sembilan bot.

"Hari ini empat lagi bot nelayan Vietnam ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Redang," katanya pada sidang media selepas menyaksikan proses pelupusan itu yang turut dihadiri Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli, hari ini.

SEBUAH daripada empat bot nelayan Vietnam yang sudah dilucut hak ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Redang. FOTO Zaid Salim
SEBUAH daripada empat bot nelayan Vietnam yang sudah dilucut hak ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Redang. FOTO Zaid Salim

Katanya, semua bot terbabit ditahan Kapal Maritim (KM) Tok Bali, Tegas dan Gemia menerusi Op Kuda Laut yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu membabitkan tangkapan seramai 53 kru termasuk tekong.

Saiful Lizan berkata, pelupusan empat bot terbabit adalah kali ke-13 dilakukan Maritim Terengganu sejak Januari lalu dan dijangkakan sebanyak 38 bot lagi akan ditenggelamkan selepas mendapat pelucutan hak daripada mahkamah sehingga Disember tahun ini.

Program pelupusan bot turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Taman Laut serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 3:15 PM