Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Subang: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa mana-mana mangsa atau yang mengetahui kegiatan doktor estetik tidak bertauliah supaya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan boleh diambil jika ada doktor estetik tidak bertauliah menawarkan khidmat rawatan tubuh badan.

"Kalau dia tidak bertauliah, memang jadi satu kesalahan dan kita boleh ambil tindakan," katanya kepada pemberita di program Inisiatif Pembedahan Global di Pusat Perubatan Subang Jaya hari ini.

Harian Metro terdahulu melaporkan, seorang wanita yang mahu memiliki payudara besar menanggung akibat sehingga berlakunya komplikasi terhadapnya kerana menggunakan khidmat doktor tidak bertauliah.

Mangsa mendakwa pembedahan membesarkan payudara (breast filler) membabitkan kos lebih RM23,600 dilakukannya penghujung tahun lalu di sebuah premis di ibu kota.

Lebih memalukan apabila hasil pembedahan itu menyebabkan fizikal mangsa kelihatan aneh apabila payudaranya beralih posisi hingga mangsa kelihatan pelik.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Elis, 32, tertarik untuk melakukan pembedahan membesarkan payudara ditawarkan melalui laman sosial Facebook.

Dia yang bekerja sebagai pendandan rambut profesional kemudian dibawa seorang ejen untuk bertemu doktor terbabit bagi berbincang soal kos pembedahan.

Mangsa juga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital bagi menyelamatkan nyawanya sebelum membuat aduan kepada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Menyentuh mengenai pemakaian orang ramai yang mahu ke premis kesihatan, Dr Noor Hisham berkata tidak ada kod etika ditetapkan.

"Kalau kecemasan atau datang ke hospital, tidak ada isu (babitkan pemakaian) pakaian," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 1:57 PM