Safiey Illias
Safiey Illias
Sudirman Mohd Tahir

 

USAHAWAN kosmetik, Safiey Illias, 26, mendedahkan bakal melakukan pembedahan menaikkan kening atau 'eyebrow lift' dengan anggaran kos RM30,000, hari ini.

Safiey atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Illias berkata, prosedur itu dibuat selepas mengalami masalah kening jatuh akibat kegagalan prosedur pemindahan lemak di dahi yang dibuat sebelum ini oleh doktor tidak bertauliah.

"Pembedahan yang saya nak buat ini sangat terkenal dalam kalangan selebriti Hollywood. Jadi, saya nak buat macam mereka. Tambahan pula, prosedur pemindahan lemak di dahi daripada doktor tidak bertauliah sebelum ini membuatkan kening saya tidak berada pada postur tulang kening seorang manusia normal.

"Akibat kegagalan itu, lemak berpindah ke kening dan kening jatuh menyebabkan kelopak mata saya turut kelihatan berat dan sayu akibat lemak berlebihan di kelopak mata. Disebabkan itu saya perlu melakukan proses ini bagi menaikkan semula kening," katanya kepada Harian Metro.

Safiey yang juga penyanyi lagu Syinta Gila berkata, dia tidak serik melakukan pembedahan kosmetik pada wajah.

"Tidak ada istilah serik dalam diri saya termasuk juga dalam soal kecantikan. Lagipun apa saya buat ini adalah untuk membetulkan kesilapan prosedur sebelum ini.

"Kali ini pembedahan akan dibuat oleh doktor pakar mata bukan doktor estetik. Masyarakat kena jelas perkara ini dan jangan buat kesilapan seperti saya," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Safiey menjalani proses pembedahan kosmetik pada wajah, payudara dan punggung dengan kos mencecah RM1 juta hingga RM2 juta.

Dalam laporan sama, Safiey mendedahkan pada bahagian wajah saja dia sudah membelanjakan hampir RM300,000 bersamaan dengan harga sebuah kereta mewah jenis Ford Mustang.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 12:06 PM