Tangkap layar tular.
Tangkap layar tular.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Ibu kepada dua anak meninggal dunia selepas empat hari menjalani suntikan untuk membesarkan payu dara yang didakwa dilakukan oleh pakar kecantikan tidak bertauliah di sebuah rumah di Skudai, di sini.

Difahamkan, mangsa berusia 29 tahun meninggal dunia kira-kira 7 pagi pada 2 Ogos lalu.

Memetik laporan akhbar berbahasa Cina tempatan, suami mangsa dikenali sebagai Wong, 35, berkata isterinya dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi yang didakwa berpunca daripada suntikan asid hyaluronik untuk pembesaran payu dara.

Dakwanya, pada mulanya mangsa merancang menjalani pembedahan 'menarik benang' muka mikro untuk menjadikan kulitnya tegang, namun 'pakar kecantikan' itu memujuk isterinya untuk menjalani prosedur membesarkan payu dara.

Katanya, selepas melakukan prosedur, isterinya mengalami sakit dada, dan kakitangan pusat kecantikan itu dilaporkan enggan menerima bayaran ketika wanita berkenaan mahu membuat bayaran.

"Keesokkannya (30 Julai), isteri saya masih tidak sihat. Ditemani seorang rakan, dia (isteri) pergi ke klinik berhampiran untuk konsultasi pada waktu tengah hari.

"Selepas berunding, doktor membuat kesimpulan bahawa ia disebabkan oleh ubat bius yang berlebihan. Sekitar 7 malam, keadaannya tidak pulih. Lukanya masih sakit dan tidak selesa.

"Isteri segera ke hospital swasta berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Isteri dibawa ke unit rawatan rapi (ICU) pada pagi 2 Ogos selepas melaporkan bahawa dia tidak boleh berjalan dan meninggal dunia pada 7 pagi (hari sama)," katanya.

Upacara pengebumian dan pembakaran mayat dilakukan di Wisma Tiong Hua, di sini, kelmarin.

Mangsa meninggalkan dua anak lelaki berusia sembilan dan 12 tahun.

Sementara itu, pihak polis ketika dihubungi akan mengeluarkan kenyataan berhubung insiden berkenaan.

Sementara itu, pakar estetik, Dr Lim Ing Kien ketika mengulas kejadian di Instagram miliknya berkata, prosedur suntikan pembesaran payu dara adalah bahaya dan tidak pernah mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).

"Apa-apa suntikan dalam badan perlukan pengetahuan perubatan.

"Untuk kes wanita ini, rawatan dibuat di rumah dan bukan di klinik. Berhati-hati semasa mendapatkan rawatan, pastikan ianya dibuat oleh doktor yang bertauliah, lakukan kajian sebelum membuat keputusan lakukan sebarang prosedur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 1:41 PM