Amir Abd Hamid


Sepang: Operasi peringkat pertama Hospital Medan Malaysia (HMM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Celikhan, Adiyaman, Turkiye dijangka bermula Selasa ini bagi rawatan pesakit luar kepada mangsa gempa bumi di negara itu.

Hospital yang terletak 152 kilometer dari Gaziantep, iaitu kawasan paling terjejas itu akan memula operasi peringkat kedua termasuk melakukan pembedahan, pada Rabu.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom TUDM berkata, hospital medan itu akan dibina secepat mungkin supaya dapat memberikan khidmat untuk penduduk terjejas.

"Insya-Allah lebih 30 doktor pakar dalam pelbagai bidang, pegawai dan anggota perubatan memberi komitmen untuk merawat kecederaan dan trauma selain memberikan bantuan perubatan kepada penduduk terjejas.

"Jika diperlukan akan datang, mungkin kita akan hantar lagi pasukan tambahan. Tempoh enam minggu (operasi HMM) adalah jangka masa kita fikirkan, kemungkinan akan lebih...jika diperlukan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelepasan kumpulan terakhir HMM ATM, Operasi Starlight II (Op Starlight II) ke Turkiye di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, malam ini.

Hadir sama, Duta Besar Turki di Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Emir Salim Yüksel; Setiausaha Bahagian Asia Barat Kementerian Luar (KLN), Datuk Zahairi Baharim dan Timbalan Ketua Protokol KLN, Muhammad Radzi Jamauddin.

Noor Mohamad Akmar berkata, kumpulan ketiga hari ini akan menyertai Op Starlight II selepas kumpulan pertama dan kedua berlepas ke Turkiye, semalam.

Katanya, kumpulan ketiga ini diketuai Pegawai Memerintah HMM di Turkiye, Kolonel Dr Yussra Yusoff terdiri dari 41 anggota membabitkan 16 pegawai dan 25 anggota lain-lain pangkat.

"Kumpulan bersama 16 doktor dan kakitangan perubatan diterbangkan dengan penerbangan Turkish Airlines pada 11 malam, dijangka tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Instabul jam 6.30 pagi (waktu tempatan).

"Kita sedia maklum, kumpulan pertama membabitkan 36 pegawai dan anggota sudah diaturgerak dengan dua pesawat A400M TUDM dari Pangkalan Udara Subang pada 2 pagi semalam dan selamat tiba di Lapangan Terbang Gaziantep pada 1.30 pagi (waktu Malaysia).

"Kumpulan kedua pula berlepas pada 11 malam semalam membabitkan 34 anggota dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 10.44 pagi (waktu Malaysia)," katanya.

NOOR Mohamad Akmar (tengah) bersama Emir Salim (dua kiri) dan Dr Yussra (tiga kanan) ketika sidang media selepas pelepasan Kumpulan Terakhir Tim Op Starlight ATM ke Turkiye di Terminal 1, KLIA. FOTO Aswadi Alias.
NOOR Mohamad Akmar (tengah) bersama Emir Salim (dua kiri) dan Dr Yussra (tiga kanan) ketika sidang media selepas pelepasan Kumpulan Terakhir Tim Op Starlight ATM ke Turkiye di Terminal 1, KLIA. FOTO Aswadi Alias.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kumpulan kedua akan menunggu ketibaan kumpulan ketiga dan akan bersama-sama menaiki pesawat A400M TUDM ke Lapangan Terbang Gaziantep, seterusnya melalui jalan darat ke lokasi HMM akan ditempatkan di Adiyaman.

"Kumpulan pertama pula dijangkakan tiba di Adiyaman dalam tempoh tiga atau empat jam lagi iaitu lokasi HMM akan didirikan.

"Perjalanan agak baik walaupun ada beberapa masalah seperti keadaan jalan yang retak dan sebagainya selain cuaca yang sejuk mencecah -15 darjah selsius.

"Kita berharap dan berdoa kesemua mereka sampai sampai dan dapat meneruskan usaha kita dalam Op Starlight II ini," katanya.

Katanya, kumpulan ketiga hari ini turut membawa bersama logistik perubatan membabitkan 7.3 tan aset hospital medan yang akan diterbangkan menggunakan pesawat Mas Kargo.

Pasukan HMM ATM di Turkiye diketuai Pemerintah Op Starlight II, Brigedier Jeneral Datul Dr Amran Amir Hamzah, dengan keseluruhannya 106 pegawai dan anggota akan melaksanakan misi yang dijangkakan selama enam minggu.

HMM akan mendapatkan bantuan koordinasi dari kerajaan Turkiye dan dikoordinasikan operasi bersama KLN serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Sementara itu, Zahairi yang ditemui memaklumkan 16 rakyat Malaysia yang berada di kawasan bencana di Gaziantep, berada dalam keadaan baik dan selamat.

"Daripada 16 rakyat Malaysia itu, lapan daripadanya sudah keluar dari lokasi kejadian dan kini berada di kawasan selamat, manakala lapan yang lain masih berada di lokasi bencana untuk membantu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia.

"Kebanyakan mereka bekerja di sana dan akan terus menetap di situ (Turkiye). Namun kami difahamkan, seorang daripadanya akan pulang ke Malaysia pada 14 Februari ini," katanya.

Sementara itu, katanya terdapat 28 penuntut Malaysia di Syria namun kesemua mereka berada di kawasan yang tidak terjejas bencana gempa bumi.

Sementara itu, Emir Salim Yüksel berkata, dengan ketibaan pasukan HMM, ia akan menjadi lebih sempurna selepas pasukan mencari dan menyelamat dari Malaysia hadir membantu Turkiye yang dilanda gempa bumi dahsyat di selatan negaranya dan Syria, Isnin lalu.

DATUK Noor Mohamad Akmar (tengah) bergambar bersama anggota ATM pada Sesi Penghantaran Kumpulan Terakhir Tim Op Starlight ATM berlepas ke Turkiye di KLIA. FOTO Aswadi Alias.
DATUK Noor Mohamad Akmar (tengah) bergambar bersama anggota ATM pada Sesi Penghantaran Kumpulan Terakhir Tim Op Starlight ATM berlepas ke Turkiye di KLIA. FOTO Aswadi Alias.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 12:22 AM