BERNAMA

Ipoh: Perak akan menyegerakan sistem Penternakan Khinzir secara Moden (MPF) bagi ladang di seluruh negeri untuk pengoperasian yang lebih baik selain demi kesejahteraan masyarakat setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri A Sivanesan berkata sistem itu perlu dilaksanakan segera susulan aduan yang tinggi oleh penduduk sekitar yang terkesan dengan pencemaran.

"Kami terima banyak aduan daripada orang awam berkaitan pencemaran bau, udara dan sebagainya. Jadi, kita putuskan untuk melakukan penyusunan semula industri ini yang akan diubah ke MPF iaitu berkonsepkan kandang tertutup.

"Selain ladang babi, pencemaran bau dan udara daripada penternakan ayam turut menjadi perhatian apabila sering menerima aduan daripada penduduk khususnya di Manjung sehingga tidak boleh menikmati makanan. Kita dapat menghentikan semua ini jika tukar kepada sistem itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri acara 5KM Colour and Water Fun Run 2023 anjuran Kelab Gabungan Kesihatan Perak di Hospital Bahagia di sini hari ini.

Sivanesan berkata setakat ini, kerajaan telah mengurangkan kepada 87 daripada 115 ladang babi manakala selebihnya akan ditutup atau ditukar kepada penternakan ayam.

"Asalnya, Putrajaya mengeluarkan arahan berkaitan sistem ini pada 2017, namun masih tertangguh hingga sekarang. Perak tidak ingin menunggu lagi jadi kita mahu pelaksanaan ini dilakukan segera," katanya.

A Sivanesan pada sidang media 5 km Colour Water Fun Run 2023 di Ipoh. FOTO L Manimaran.
A Sivanesan pada sidang media 5 km Colour Water Fun Run 2023 di Ipoh. FOTO L Manimaran.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kerajaan Negeri Perak memohon pertambahan belanjawan berkaitan kesihatan yang akan dimasukkan dalam Bajet 2023.

"Kami telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memohon pertambahan katil hospital di negeri ini antaranya kerana kesesakan pesakit. Kita mahu pertingkatkan jumlah katil dan kemudahan bagi keselesaan orang ramai," katanya.

Rabu lepas, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mengemukakan senarai permohonan projek pembangunan bernilai RM3 bilion untuk dimasukkan dalam bajet antaranya membabitkan pembinaan semula Jalan Raya Timur Barat dan tambahan katil di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 3:12 PM