Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Sebanyak 47 aduan gangguan gajah liar diterima oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak sehingga Ogos tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, jumlah aduan berkenaan termasuk dua kes yang mengakibatkan kecederaan kepada penduduk di negeri itu.

"Di Perak, kita menerima aduan antaranya di Sungai Siput, Gerik, Pos Kemar dan sebagainya. Kami prihatin dengan setiap laporan dan aduan diterima. Kita akan mengambil tindakan segera berhubung gangguan ini iaitu samada kita menghalaunya atau membuat tangkapan.

"Gangguan dan kerosakan yang dibuat itu memang tidak dapat dielakkan. Kita mempunyai pasukan membabitkan isu gajah ini seperti di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang; di Perak, Johor dan Kelantan untuk kita panggil dan bertindak bagi menyelesaikan masalah dengan segera," katanya pada sidang media sempena Majlis Berendoi anak Hippo Jiwang dan Juwita di Hippo Kingdom, Lost World of Tambun di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah PERHILITAN Negeri Perak, Yusoff Shariff dan Pengarah Eksekutif Sunway Theme Parks, Calvin Ho.

Beliau berkata, PERHILITAN setiap negeri kebiasaannya menerima sekurang-kurangnya 100 hingga 120 aduan berkaitan gangguan gajah liar setiap tahun.

Abdul Kadir turut meminta orang ramai tidak bertindak sendiri dan segera menghubungi PERHILITAN.

DATUK Abdul Kadir Abu Hashim ketika melawat Jaguh anak kepada badak air Afrika, Juwita di Hippo Kingdom, Lost World Of Tambun di Ipoh. FOTO L. MANIMARAN
DATUK Abdul Kadir Abu Hashim ketika melawat Jaguh anak kepada badak air Afrika, Juwita di Hippo Kingdom, Lost World Of Tambun di Ipoh. FOTO L. MANIMARAN

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 7:21 PM