Karkas babi seberat 25,142 kg disahkan positif penyakit ASF dirampas dan dilupuskan dalam serbuan di dua buah premis sejuk beku di Menglembu, Ipoh, baru-baru ini. FOTO Ihsan Jabatan Penguatkuasa DVS Perak.
Karkas babi seberat 25,142 kg disahkan positif penyakit ASF dirampas dan dilupuskan dalam serbuan di dua buah premis sejuk beku di Menglembu, Ipoh, baru-baru ini. FOTO Ihsan Jabatan Penguatkuasa DVS Perak.
Muhamad Lokman Khairi


Ipoh: Sebanyak 27 kes penyakit demam babi Afrika (ASF) direkodkan di negeri ini sejak Disember 2021 hingga Oktober lalu, kata Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A Sivanesan.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan sebanyak sembilan kes positif ASF pada babi hutan dan 18 kes positif ASF dikesan di ladang babi komersial membabitkan beberapa fasa kejadian penyakit.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak menjalankan tindakan kawalan dan pembasmian penyakit ASF mengikut Protokol Veterinar Malaysia (PVM).

"Tindakan kawalan dan pembasmian melalui pemusnahan keseluruhan babi di ladang yang terjangkit (stamping out) mengikut Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953 (Akta 647).

"Sehingga kini, belum ada vaksin yang boleh digunakan untuk melindungi babi daripada jangkitan virus ASF di seluruh dunia," katanya pada sidang media khas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JPV Perak, Dr Ahmad Shafri Hassan.

Sivanesan berkata, hasil serbuan Bahagian Penguatkuasa JPV Perak di dua premis sejuk beku di Menglembu, Ipoh pada 22 November lalu menemukan 25,142 kilogram karkas babi dengan nilai keseluruhan RM502,840.

"Karkas babi ini tidak disembelih di Rumah Sembelih Khinzir yang diluluskan JPV atau Rumah Sembelih Khinzir yang dilesenkan, sebaliknya diseludup dari negara yang tidak dibenarkan diimport.

"Hasil ujian persampelan oleh Makmal Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh pada 23 November lalu mendapati karkas babi itu disahkan positif penyakit ASF.

"Semua karkas babi terbabit dirampas dan disita, seterusnya dilupuskan pada 28 dan 29 November lalu selepas mendapat perintah dari Mahkamah Majistret Ipoh. Tindakan disinfeksi atau pembasmian kuman keseluruhan premis juga dijalankan," katanya.

Sementara itu, Ahmad Shafri berkata, nilai kerugian penternak dianggarkan RM38.42 juta susulan 19,285 ekor babi didilupuskan dan mati.

Katanya, hampir RM4.9 juta pampasan dibayar kepada 16 pengusaha ladang membabitkan 11,536 ekor babi yang dijangkiti penyakit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 2:20 PM