Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Lebih 3,000 khinzir komersil membabitkan tiga ladang di dua daerah di negeri ini dijangkiti penyakit demam babi Afrika (ASF).

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria berkata, ia disahkan melalui ujian 'Real-time PCR' oleh Makmal Institut Penyelidikan Veterinar Ipoh.

Penyakit itu mula menjangkiti sebuah ladang khinzir komersil di Hilir Perak pada 27 Mac lalu manakala dua lagi di Batang Padang pada 4 April lalu.

Menurutnya, susulan penularan, Notis Kuarantin di bawah Seksyen 18(3) Akta Binatang 1953 (Semakan -2006) (Akta 647) dikeluarkan kepada pemilik ladang khinzir yang disahkan positif untuk tidak memindahkan ternakan khinzir keluar masuk ke ladang terjangkit.

"Enam ladang khinzir yang berada dalam jarak lima kilometer (km) radius (kawasan wabak) dari ladang yang disahkan positif turut dikuarantin untuk pemeriksaan lanjut dan persampelan.

"Semua khinzir di ladang yang positif diambil tindakan pelupusan segera di bawah Seksyen 19 Akta Binatang 1953 (Semakan - 2006) untuk mengawal rebakan," katanya pada sidang media berkenaan jangkitan penyakit itu di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

RAZMAN (dua dari kiri) pada sidang media berkaitan Penyakit Demam Khinzir Afrika atau African Swine Fiver (ASF) di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO L MANIMARAN
RAZMAN (dua dari kiri) pada sidang media berkaitan Penyakit Demam Khinzir Afrika atau African Swine Fiver (ASF) di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO L MANIMARAN

Razman berkata, sehingga kini, 990 ekor khinzir sudah dilupuskan dari ladang yang terbabit.

"Pemantauan, pemeriksaan dan persampelan semua ladang khinzir di daerah berkenaan turut dijalankan sebagai langkah proaktif dalam mengawal rebakan.

"Penternak khinzir komersil dinasihati untuk mempertingkatkan kawalan ketat Biosekuriti di ladang khinzir masing-masing bagi membendung penularan wabak ASF ke ladang mereka," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan kawalan dan penguatkuasaan lebih ketat dapat dijalankan, Perintah Kawasan Dijangkiti, Kawasan Kawalan Dan Pembasmian Penyakit ASF Negeri Perak diwartakan pada 4 April lalu.

Sementara itu, Pengarah Veterinar Negeri Perak Dr Ahmad Shafri Hassan berkata, bagaimanapun bekalan daging khinzir untuk pasaran di negeri ini pada ketika ini tidak terjejas.

"Setakat ini, ia tidak menjejaskan bekalan kerana bilangannya dalam 3,000 lebih sahaja, daripada peratusan pengeluaran pula tidak sampai satu peratus.

"Setiap tahun kita mengeluarkan 56,000 metrik tan daging khinzir yang bernilai kira-kira RM621 juta, Perak pengeluar terbesar khinzir," katanya.

Beliau meminta persatuan, terutama Persatuan Penternak Babi Perak, untuk mengingatkan ahli agar mempertingkatkan sekuriti.

"Paling penting, kita minta penternak memberitahu lebih awal agar kita boleh membantu membendung dan mengelakkan rakan pengusaha lain berdepa kematian khinzir yang banyak.

"Sekiranya ada kes, terus lapor agar kita boleh membuat tindakan segera menyekat pergerakan keluar daripada kawasan yang kita kuarantin bagi mengurangkan rebakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 2:56 PM