Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kerajaan tidak mempunyai kuasa dan tidak berhak mengarahkan penyedia platform media sosial supaya menarik balik atau memadam kandungan yang dimuat naik oleh pengguna yang didapati melanggar perundangan termasuk kandungan berita palsu serta ucapan kebencian.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, susulan itu Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), akan menggiatkan usaha menjalin kerjasama dengan penyedia platform berkenaan ke arah itu.

"Kami akan bekerjasama dengan penyedia platform itu supaya apa sahaja kandungan yang tidak betul, mereka boleh bantu kami (kerajaan) dengan menurunkannya (memadam) yang mana ini kami akan jalankan melalui SKMM.

"Apabila kita mendapati sesuatu berita palsu atau ucapan kebencian di media sosial, memang kami akan memaklumkan kepada penyedia platform itu supaya ia dipadamkan agar tidak terus tular menyebarkan maklumat tidak benar.

"Paling penting ucapan kebencian itu tidak boleh ada di platform atau ruang dalam media sosial itu kerana ia akan menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara," katanya kepada pemberita selepas sesi Program Walkabout sempena lawatan kerja pertamanya ke Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Perak, Mohd Rizal Hashim, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How.

Teo dalam pada itu mengakui pengguna media sosial mempunyai peranan masing-masing dalam membendung penyebaran berita palsu serta ucapan kebencian

Ia termasuk melalui memberi maklum balas menerusi laporan terhadap kandungan berbaur pelanggaran, selain memberi cadangan kepada syarikat penyedia berkenaan bagi menambah baik sistem mereka terutamanya yang berkonsepkan moderasi berganda.

TEO Nie Ching (kanan) pada sidang media selepas sesi Program Walkabout sempena lawatan kerja ke Perak di Medan Selera Stadium Perak, Ipoh. FOTO L. Manimaran
TEO Nie Ching (kanan) pada sidang media selepas sesi Program Walkabout sempena lawatan kerja ke Perak di Medan Selera Stadium Perak, Ipoh. FOTO L. Manimaran

Dalam perkembangan lain, Teo berkata sebanyak 35 kes disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sepanjang Januari lalu dan angka itu dijangka melepasi bilangan kes yang direkodkan sepanjang tahun lalu iaitu sebanyak 48 kes, sehingga hujung tahun ini.

"Sejak 2020 hingga Januari 2023, terdapat 444 kes yang disiasat mengikut Akta 588 dan sepanjang 2022 kita hanya ada 48 kes sahaja.

"(Namun) Bagi Januari 2023 kita sudah ada 35 kes, jadi berdasarkan 'trend' ini, ia bermaksud sepanjang tahun 2023 ini mungkin bilangan kes yang akan disiasat mencecah 350 kes," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KKD akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan (MOF) dalam menambah baik serta mengukuhkan peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dengan agenda memerangi jenayah penipuan dalam talian atau 'scam' di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 12:57 PM