Adha Ghazali


Bangkok: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Terminal Udara 2 Tentera Udara Diraja Thailand, di sini, hari ini, untuk memulakan lawatan rasmi dua hari ke Thailand.

Ketibaan Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kira-kira jam 1 tengah hari disambut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai sebagai mewakili kerajaan Thailand.

Turut serta menyambut ketibaan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Duta Malaysia ke Bangkok, Datuk Jojie Samuel.

Anwar hari ini akan memulakan lawatan rasmi dengan perjumpaan bersama diaspora Malaysia di Bangkok pada majlis minum petang di Hotel Shangri-La, sebelum berangkat ke Government House untuk mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha.

Pertemuan empat mata ini dijangka memberi peluang kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dan Thailand meliputi kerjasama ekonomi, pembangunan kawasan sempadan dan projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat.

Terdahulu, Perdana Menteri sejurus tiba di Government House akan menerima sambutan rasmi oleh rakan sejawatnya, Prayuth dengan diiringi barisan kawalan kehormat.

Sejurus selesai mesyuarat dua hala, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan majlis menandatangani dan penyerahan empat memorandum persefahaman (MoU) membabitkan usahasama syarikat Malaysia-Thailand dalam bidang tenaga dan ekonomi digital di lokasi sama, sebelum masing-masing menghadiri sidang media bersama.

Pada sebelah malam pula, Anwar akan menghadiri majlis makan malam dihoskan Perdana Menteri Thailand di Santi Maitri Buidling juga di Government House.

Untuk hari kedua pula, Perdana Menteri akan bertemu kapten industri meliputi kalangan intelektual dan masyarakat perniagaan yang terbabit dalam sektor perdagangan serta pelbagai sektor strategik Thailand, di mana beliau akan menyampaikan ucapan bertajuk 'The Future of Asean'.

Anwar juga dijadual menunaikan solat Jumaat di Islamic Centre of Thailand di mana sesudah itu beliau akan bertemu masyarakat Islam di sana.

Lawatan dua hari ini adalah lawatan rasmi sulung Anwar ke Thailand selepas dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu dan negara ini adalah destinasi keempat beliau selepas Indonesia, Brunei dan Singapura.

Thailand adalah rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota Asean dengan jumlah bernilai RM122.03 bilion (AS$27.75 bilion).

Jumlah eksport ke Thailand pada 2022 meningkat 18.9 peratus iaitu RM65.84 bilion berbanding 2021, manakala import dari negara itu turut mencatat peningkatan 16.7 peratus berjumlah RM56.19 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 2:32 PM