ZAMBRY pada sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Thailand. FOTO BERNAMA
ZAMBRY pada sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Thailand. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Bangkok: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan membincangkan rundingan damai di selatan Thailand dalam pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya Prayuth Chan o-cha esok.

Anwar yang akan memulakan lawatan rasmi sulung ke Thailand selama dua hari bermula esok dilihat akan menyumbang momentum kepada proses dialog damai dan membantu mewujudkan keamanan di selatan Thailand.

"Kita akan serahkan kepada kebijaksanaan kedua-dua pemimpin dalam siri pertemuan empat mata untuk mereka membincangkan perkara-perkara yang berkepentingan bersama bagi kedua pihak-pihak, " kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada satu sidang media di sini malam ini sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Thailand.

Malaysia adalah fasilitator bagi proses rundingan damai dalam menamatkan konflik berpuluh tahun yang memuncak pada Januari 2004 di wilayah selatan di Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai di Selatan Thailand yang baharu, berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Rundingan antara kerajaan dan pemberontak bermula pada 2013 tetapi terhenti berikutan rampasan kuasa tentera di Thailand setahun kemudian. Rundingan kemudian diteruskan tanpa membabitkan parti utama termasuk Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Jeneral Wanlop Rugsanoah mengetuai Panel Dialog Keamanan bagi Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 10:49 PM