MD Yusuf Asshad luka pada lembu ternakannya yang diserang harimau di Kampung Paya Kepuh. FOTO Ahmad Ismail
MD Yusuf Asshad luka pada lembu ternakannya yang diserang harimau di Kampung Paya Kepuh. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Labis: Penternak lembu di Kampung Paya Kepuh, Mukim Labis di sini, bimbang apabila haiwan ternakannya dipercayai diserang harimau, Selasa lalu.

Md Yusuf Arshad, 59, berkata, dia mendapati lembu betina bunting diternaknya ada kesan luka dan cakaran pada bahagian belakang badan haiwan itu.

"Pada mulanya saya menyangka ia luka disebabkan lembu bergaduh, tetapi apabila diperiksa lebih lanjut, saya terkejut ada kesan luka sepanjang 10 sentimeter di belakang badan lembu itu.

"Saya terpaksa mengurung lembu itu di pondok (kebun) kerana bimbang harimau itu datang lagi dan memburu empat lembu peliharaan saya yang lain," katanya ketika ditemui, hari ini.

Md Yusuf yakin haiwan buas itu adalah harimau belang berdasarkan kesan tapak kaki yang ditemukan di sekitar kebun sawit itu.

"Saya kini mengambil langkah berjaga-jaga. Pada sebelah malam, saya membuat unggun api bagi menakutkan harimau itu supaya tidak menghampiri kawasan kebun dan kawanan lembu milik saya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menyiasat kehadiran harimau berkenaan.

"Tindakan tinjauan dan pemantauan sedang dijalankan dengan bantuan penternak berkenaan," katanya.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah mengesahkan menerima laporan polis mengenai kes berkenaan di Balai Polis Labis, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 1:32 PM