TAPAK kaki harimau yang ditemui berdekatan bangkai lembu di Kampung Langkap Baru. FOTO Ihsan pembaca.
TAPAK kaki harimau yang ditemui berdekatan bangkai lembu di Kampung Langkap Baru. FOTO Ihsan pembaca.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Setiu: Seorang penternak lembu terkejut mendapati haiwan ternakannya mati dipercayai dibaham harimau di Kampung Langkap Baru dekat sini.

Shamsudin Muhamad berkata, dia dimaklumkan perkara itu oleh seorang penternak yang menjumpai lembunya mati jam 12 tengahari hari ini.

Katanya, selain terdapat kesan gigitan yang besar pada bahagian belakang bangkai lembu itu, tapak harimau juga ditemui di tempat kejadian.

"Menggigil juga apabila menemui kesan tapak harimau itu kerana ia bersaiz besar dan dibimbangi sekiranya ia masih berada di kawasan berhampiran.

"Kejadian itu pertama kali berlaku di Kampung Langkap Baru dan dipercayai harimau itu membaham lembu penduduk kerana terdesak berikutan sumber makanan di hutan berdekatan semakin berkurangan kerana aktiviti pembalakan.

"Kejadian itu hanya satu kilometer daripada rumah saya manakala 600 meter daripada rumah penduduk lain," katanya.

Shamsudin berkata, sebelum ini kejadian sama pernah berlaku di kampung sebelah iaitu Kampung Merbau Menyusut dan sebanyak empat ekor lembu menjadi korban.

"Sekarang kejadian sama berulang di Kampung Langkap Baru dan tidak mustahil jika dibiarkan ia berulang lagi.

"Penduduk dalam ketakutan terutama penoreh getah dan pekerja di ladang kelapa sawit, mereka berasa bimbang untuk turun ke kebun susulan kejadian berkenaan," katanya.

Menurutnya, dia sudah menghubungi dan melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan segera.

"Sebagai wakil penduduk, saya memohon kejadian itu segera ditangani bagi keselamatan penduduk setempat dan ternakan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 11:08 PM