Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Tiada sebarang petunjuk ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua anggota tentera komando Lans Koperal Edrin Baintin, 25, yang dikhuatiri lemas ketika menjalani kursus juruselam, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, SAR hari kedua yang dijalankan bermula jam 8.30 pagi tadi membabitkan seramai 110 anggota dan 14 pegawai daripada lima agensi dengan operasi pencarian.

Menurutnya, operasi pencarian dibahagikan kepada tiga elemen iaitu zon dasar laut, zon permukaan laut dan zon udara.

"Terdapat banyak kemungkinan, termasuk komando terbabit mungkin boleh dihanyutkan sehingga ke perairan negara jiran kerana keadaan arus di dasar laut serta angin yang kuat.

"Untuk hari ini, kesemua lima agensi kita menggunakan segala kekuatan aset laut dan udara yang bagi mencari mangsa. Keluasan pencarian sudah meliputi keluasan 101.2 batu nautika persegi tetapi gagal menemui sebarang petunjuk," katanya.

Beliau berkata, antara cabaran yang dihadapi pasukan penyelamat dalam operasi adalah keadaan arus yang kuat dan jarak penglihatan yang amat terhad antara dua hingga lima kaki.

"Operasi SAR akan diteruskan esok, termasuk kemungkinan kita akan berhubung dengan pihak berkuasa dan nelayan Indonesia sekiranya mangsa hanyut ke perairan negara itu.

"Namun begitu semua ini masih belum dapat dipastikan dan kita akan meneruskan SAR seperti biasa yang jugs turut membabitkan persatuan nelayan," katanya.

Difahamkan, mangsa dari Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando Kem Iskandar Mersing, Johor, hilang sedang menjalani latihan Eksesais Pari Harimau Kursus Juruselam di kawasan perairan Pulau Undan.

Media semalam melaporkan, anggota komando dipercayai lemas ketika melakukan kursus juruselam di perairan Pulau Undan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 9:52 PM