TANGKAP layar video kejadian lelaki yang mengamuk di tengah jalan raya.
TANGKAP layar video kejadian lelaki yang mengamuk di tengah jalan raya.
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Pengguna jalan raya di hadapan pejabat MARDI Daerah Pasir Puteh dikejutkan dengan kejadian amuk seorang lelaki, 9.10 pagi, hari ini.

Suspek, 49, dipercayai mengamuk menggunakan sabit dan merosakkan kereta di situ.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, cermin hadapan sebuah kereta pecah namun tiada orang awam yang cedera.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai tukang kebun ditangkap 20 minit kemudian.

"Suspek pernah ditangkap mengamuk pada tahun 2019 dan dia mempunyai sakit mental.

"Kita berharap tiada pihak membuat sebarang spekulasi yang tidak benar berhubung video yang tular," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, terdahulu, orang awam membuat panggilan telefon kepada polis berhubung tindakan suspek yang menaiki motosikal dan kemudiannya mengamuk di tengah jalan raya.

Video lelaki itu mengamuk turut tular dan memaparkan suspek memukul cermin kereta selain turut mengejar beberapa pengguna jalan raya dan menaiki lori sambil memegang sabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 3:44 PM