GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Remaja lelaki ditahan polis di dalam bas di Bentong, Pahang, dipercayai merogol kanak-kanak perempuan pada ambang tahun baharu.

Dia yang berusia 17 tahun ditahan kira-kira 1 tengah hari tadi, ketika bas itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, sebelum itu, keluarga mangsa berusia 13 tahun membuat laporan polis pada 6.45 pagi semalam.

Menurutnya, kejadian didakwa berlaku di kawasan sawah padi di Kampung Bukit Abal, di sini ketika mangsa keluar dengan suspek yang dikenalinya, tanpa pengetahuan keluarga.

"Mangsa dikatakan keluar dengan suspek menaiki motosikal dari Pantai Bukit Keluang, Besut, Terengganu untuk bersiar-siar di sekitar Besut dan Pasir Puteh sempena tahun baharu.

"Suspek kemudian didakwa membawa mangsa ke sawah padi sebelum merogolnya dan mangsa ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Balai Polis Banggol Judah, Machang.

"Bertindak atas maklumat, kita berjaya memberkas suspek jam 1.00 tengah hari tadi dipercayai cuba melarikan diri ke Kuala Lumpur," katanya.

Zaizul berkata, suspek akan ditahan reman mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 11:10 PM