GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Seorang pekerja di sebuah farmasi berdepan detik cemas apabila didatangi perompak lelaki bersenjatakan sabit dalam kejadian di Jalan Telipot, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa yang berusia 20-an didatangi suspek yang turut memakai topi keledar selain memakai pelitup muka.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata suspek menuju ke kaunter dan meminta pekerja berkenaan mengeluarkan wang.

Katanya, pada masa sama suspek mengeluarkan sabit dan terus menarik peti duit kaunter selain memotong kabel sebelum melarikan diri.

"Semasa kejadian tiada pelanggan lain dalam farmasi berkenaan dan siasatan polis menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek seorang lelaki tempatan, memakai baju T berwarna merah dan berseluar panjang.

"Suspek juga memakai jaket berwarna biru dan menunggang motosikal jenis Honda Dash. Ketinggian suspek lebih kurang 170 sentimeter (cm).

"Pihak polis sedang giat menjalankan operasi dalam usaha mengesan dan menangkap suspek berkenaan," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan dengan kesalahan

boleh dikenakan dengan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau

sebat.

Katanya, bagi kesalahan Seksyen 397 Kanun Keseksaan sebatan adalah wajib.

"Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Mohd Fadil Shamsur Bahar di talian 012-344755 atau 09-7752200," katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 32 saat di media sosial yang memaparkan kejadian individu melakukan rompakan dengan menggunakan senjata sabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 2:03 PM