GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


HAJAT seorang remaja lelaki membeli barang di kedai runcit dekat Kampung Teluk Tasek, Guntung Luar, di Permaisuri, Sabtu lalu terbantut selepas diugut akan ditetak lelaki dikenali menggunakan sabit.

Kejadian 10.40 pagi ketika mangsa berusia 13 tahun dikatakan dalam perjalanan ke kedai itu, sebelum terserempak dengan suspek yang sedang khayal dadah.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, suspek kemudian menahan mangsa dan mengugut mahu menetaknya.

Katanya, mangsa yang melihat suspek memegang sebilah sabit kemudian berpatah balik kerana bimbang diapa-apakan.

“Beberapa hari sebelum kejadian, suspek yang juga penagih dikatakan pernah mengamuk dan memarahi mangsa.

“Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatan diri dan keluarga membuat laporan di Balai Polis Permaisuri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Zulkifli berkata, suspek berusia 37 tahun berjaya ditahan di sekitar kampung itu sejurus laporan dibuat dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 1:11 PM