MPHS mengambil tindakan sita ke atas struktur menara telekomunikasi yang diletakkan tanpa kebenaran di Kampung Assam Kumbang. FOTO ihsan FB MPHS
MPHS mengambil tindakan sita ke atas struktur menara telekomunikasi yang diletakkan tanpa kebenaran di Kampung Assam Kumbang. FOTO ihsan FB MPHS
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Kedegilan syarikat persendirian meletakkan barang binaan bagi struktur menara telekomunikasi tanpa kebenaran dekat Kampung Assam Kumbang, Kuala Kubu Bharu, di sini, mengundang padah apabila disita Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), semalam.

Yang Dipertua MPHS, Mohd Hasry Nor Mohd berkata, pihaknya memulakan operasi pada 9.05 pagi yang membabitkan dua kakitangan Jabatan Bangunan MPHS, seorang anggota penguat kuasa dan panel kontraktor dilantik MPHS.

"Kami mengambil tindakan awal iaitu dengan mengeluarkan arahan notis pada 14 Januari lalu supaya pemilik mengalih atau memindahkan struktur menara telekomunikasi dari lokasi.

"Selepas tempoh diberikan tamat, kami mendapati pemilik gagal mematuhi arahan dikeluarkan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Hasry berkata, tindakan sitaan diambil ke atas struktur menara telekomunikasi terbabit dan dibawa ke Depoh Tahanan Penguatkuasaan untuk tindakan lanjut.

"Tindakan dilakukan mengikut Seksyen 46(3) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Sebarang kerosakan dan kehilangan barang yang disita atas risiko pemilik struktur.

"MPHS tidak bertanggungjawab terhadap barang yang disita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 12:31 PM