Anggota penguatkuasa menjalankan operasi ke atas dua kilang dalam operasi di Rasa, kelmarin. FOTO IHSAN FB MPHS
Anggota penguatkuasa menjalankan operasi ke atas dua kilang dalam operasi di Rasa, kelmarin. FOTO IHSAN FB MPHS
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Letak tong berisi cecair asid dan kimia berhampiran dengan sungai. Itu tindakan berbahaya sebuah kilang kitar semula yang diserbu pihak Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Dalam serbuan kelmarin disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelmarin, kilang berkenaan yang terletak di Rasa di sini, disita sebelum diarah menutup operasi.

Pihak MPHS memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati premis itu menjalankan aktiviti proses kitar semula kertas dan plastik.

"Mengikut rekod, premis itu hanya mendapat kelulusan lesen perniagaan bagi khidmat kitar semula kertas sahaja. Tiada permohonan dinyatakan bagi aktiviti memproses kitar semula plastik," katanya.

MPHS berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pemilik kilang juga didapati melakukan beberapa kesalahan lain.

"Antaranya tempat penyimpanan bahan kimia yang sudah digunakan (tong asid) diletakkan di tempat terbuka, tiada tebing atau saluran khas untuk menakung tumpahan dari tong asid.

"Terdapat longgokan tong asid berdekatan dengan anak sungai dan tumpahan cecair berwarna hijau di lantai.

"Susulan itu MPHS menerusi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam mengeluarkan notis penutupan di bawah Undang-Undang Kecil 43 (1)(a) & (b), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007," katanya.

Selain itu, notis amaran di bawah Seksyen 69 juga dikeluarkan dan pemilik diarah mengalihkan tong asid yang sudah digunakan ke kawasan tertutup dan membersihkan kesan tumpahan bagi mengelakkan potensi pencemaran anak sungai.

Menurutnya, pihak kilang kitar semula itu diminta membuat permohonan penambahan aktiviti dengan segera dalam tempoh 14 hari bermula kelmarin hingga 7 Mac ini.

Sementara itu, dalam operasi kedua, MPHS menyita sebuah kilang baja yang beroperasi tanpa lesen serta menjalankan aktiviti membungkus baja tanpa kebenaran.

Katanya, MPHS juga merampas pelbagai peralatan di premis terbabit antaranya mesin 'laminate' plastik, mesin penggembur tanah, dacing, mesin pencuci lantai, forklift, badan lori treler dan tong oksigen.

"Tindakan sitaan dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil 3(1) dan 38 (1), Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007.

"Kesemua barang sitaan dibawa ke depoh tahanan MPHS untuk proses tahanan dan tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 11:53 AM