Paya Linda Yahya


Gua Musang: Buruh dijatuhi hukuman penjara 15 bulan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan topi keledar, 25 Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Shamsuri Rokman Yusuf, 35, mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja memukul Siti Norhashikin Che Mat, 35 menggunakan topi keledar.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan kedai makan di Paloh 2 di sini, 5 petang, 25 Januari 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen dalam akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ahmad Firdaus Abdul Hamid.

Ahmad Firdaus merayu supaya mengurangkan hukuman kerana lelaki itu mempunyai tanggunggan lima anak dan menjaga ibu yang sakit.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan yang bermula daripada tarikh ditangkap, 28 Januari lalu.

TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Gua Musang. FOTO Paya Linda Yahya
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Gua Musang. FOTO Paya Linda Yahya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 1:01 PM