Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Dua pemungut telur penyu dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh rakan mereka dengan memukul menggunakan kayu dan dan topi keledar lima tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Faizol Aznan Muhamad, 40, dan Mohd Riduan Ismail, 32, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pendakwaan.

Zainal Azman dalam penghakimannya berkata, laporan forensik jelas menunjukkan kecederaan di kepala, leher, dada dan perut berpadanan dengan kayu dan topi keledar yang digunakan dalam kejadian berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Razak Abdullah yang ketika kejadian berusia 45 tahun di tepi pantai Geliga berhadapan sebuah sekolah di Chukai, Kemaman, jam 7 pagi pada 3 Jun 2016.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 35 kanun yang sama.

FAIZOL Aznan dan Mohd Riduan digantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan membunuh rakan mereka dengan memukul mangsa menggunakan kayu dan dan topi keledar. FOTO Ghazali Kori
FAIZOL Aznan dan Mohd Riduan digantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan membunuh rakan mereka dengan memukul mangsa menggunakan kayu dan dan topi keledar. FOTO Ghazali Kori

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah dan Intan Nor Hilwani Mat Rifin.

Sementara itu, tertuduh diwakili peguam, Ghazali Ismail dan Masliela Ismail.

Dalam kejadian itu, dua tertuduh berselisih faham dengan seorang lelaki juga pemungut telur penyu.

Mangsa yang berada di lokasi menegur tindakan itu menyebabkan dua tertuduh bertindak agresif dengan memukul mangsa menggunakan kayu dan topi keledar.

Kejadian itu menyebabkan mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di leher, kepala, dada dan perut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 1:03 PM