Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang pemotong rumput didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini termasuk menyerang anggota polis hingga menyebabkan kecederaan, Selasa lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh, P Subramaniam, 49, didapati sengaja menghalang tugas penjawat awam iaitu Sarjan Mohd Zainudin Mohd Jidin apabila diminta menunjukkan pengenalan diri ketika pemeriksaan di Jalan Sungai Pari berdekatan Flat Harmoni, di sini, 3.15 petang 12 Januari lalu.

Bagi petuduhan kedua, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Zainudin dengan memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar yang mungkin menyebabkan kematian di lokasi pada hari serta waktu sama.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Pertuduhan pertama mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 324 kanun yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya K Darinee dengan tertuduh diwakili peguam, Ranjit Singh.

Pihak pembelaan memohon jaminan dibenarkan sebanyak RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan memandangkan pendapatan tertuduh hanya RM1,200 sebulan selain perlu menyara empat anak dan seorang isteri.

Majistret kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertduhan selain menetapkan 18 Februari depan untuk kes disebut semula.

TERTUDUH (tengah) di Mahkamah Majistret Ipoh. FOTO Sharul Hafiz Zam
TERTUDUH (tengah) di Mahkamah Majistret Ipoh. FOTO Sharul Hafiz Zam

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 11:36 AM