Gambar hiasan
Gambar hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Seorang guru wanita berusia 55 tahun di Maran kerugian RM233,480 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata berdasarkan laporan, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pihak syarikat penghantaran barang pada 13 Januari lalu.

Katanya, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada pegawai polis kerana mangsa kononnya terbabit dalam pengedaran barang-barang terlarang dan kes pengubahan wang haram.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa mendedahkan maklumat perbankan miliknya. Mangsa mula sedar selepas membuat 16 transaksi ke akaun lain.

"Berdasarkan siasatan, sumber kewangan adalah daripada ganjaran wang pencen arwah suami mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam kes terbabit, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada pihak ketiga atau di dalam sebarang aplikasi daripada pautan yang mencurigakan.

"Jangan takut atau cemas apabila dihubungi atau didakwa terbabit dengan apa-apa jenayah oleh panggilan telefon yang mendakwa sebagai pihak berkuasa.

"Pihak penguatkuasa tidak menjalankan siasatan melalui panggilan telefon. Oleh itu, sentiasa semak dengan balai, bank atau pejabat berkaitan yang berhampiran untuk pengesahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 3:06 PM