SUPERINTENDAN E Sundra Rajan. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
SUPERINTENDAN E Sundra Rajan. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Tindakan bijak seorang lelaki merujuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri selepas menerima dokumen laporan polis tertera namanya berjaya mengelak dirinya daripada menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

Ketua JSJK negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, tindakan lelaki berusia 20-an itu juga membongkar taktik baru sindiket menggunakan nama Ketua Polis Melaka dipercayai bagi tujuan penipuan.

"Siasatan mendapati penama menerima dokumen itu melalui WhatsApp, namun tidak membalas kepada sindiket terbabit.

"Dia kemudiannya mengirim dokumen itu kepada JSJK semalam bagi mendapat pengesahan ketulenannya, namun setakat ini tiada laporan polis dibuat dan penama juga gagal dihubungi," katanya dihubungi di sini.

Sundra Rajan berkata, pihaknya mengesahkan dokumen itu adalah palsu dan tidak dikeluarkan atau ditandatangani oleh Ketua Polis Melaka.

"Ia adalah modus operandi yang sering digunakan oleh sindiket Macau Scam untuk memperdaya serta menimbulkan ketakutan terhadap mangsa agar mempercayai kononnya mereka terbabit dengan siasatan polis.

"Orang ramai yang terpedaya akan diarahkan memberi butiran nombor akaun serta maklumat perbankan yang kemudiannya akan membuat pindahan wang," katanya dihubungi di sini.

Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihati terus ke balai polis yang berdekatan untuk pertanyaan atau pengesahan sekiranya menerima dokumen sedemikian.

"Pihak polis mengharapkan orang ramai lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan taktik licik sindiket ini.

"Orang ramai boleh menghubungi pusat panggilan setempat 'CCID Scam Response Center' di talian 03-26101559/1599 untuk pengesahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 5:14 PM