Gambar hiasan
Gambar hiasan
Khairulmizan Yahya


Kuantan: Seorang warga emas berusia 60 tahun terpaksa menanggung kerugian sehingga RM28, 200 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan melalui telefon.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang juga pesara badan berkanun menerima panggilan telefon pada November lalu.

"Pemanggil mengaku sebagai pegawai polis dan kemudian panggilan disambungkan kepada dua individu lain yang menyamar sebagai pegawai mahkamah dan pegawai Jabatan Peguam Negara.

"Mangsa diberitahu kononnya terbabit dengan kes penggubahan wang haram dan rasuah berjumlah RM1.5 juta," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, dalam keadaan ketakutan mangsa mengikut segala arahan sehingga menukar nombor akaun bank melalui mesin pengeluaran automatik (ATM) dan akhirnya mendapati wang dalam akaun bank hilang sebanyak RM 28,200.

"Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihati orang ramai supaya jangan mendedahkan atau berkongsi apa-apa maklumat perbankan atau kewangan kepada mana-mana individu yang tidak berkenaan.

"Jangan takut atau cemas apabila dihubungi atau didakwa terbabit dengan apa-apa jenayah oleh panggilan telefon yang mendakwa sebagai pihak berkuasa," katanya.

Jelasnya, pihak penguatkuasa tidak menjalankan apa-apa siasatan melalui panggilan telefon dan orang ramai disarankan supaya sentiasa semak dengan pihak polis untuk mengelakkan diri diperdayakan oleh sindiket Macau Scam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 6:01 PM