GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Asrol Awang


Kuantan: Pesara guru wanita kerugian RM92,000 selepas diperdaya Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Tabung Haji (TH), Julai lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata berdasarkan laporan, mangsa berusia 61 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa mangsa menerima wang dana Tabung Haji sebanyak RM12,988 dan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.

"Mangsa kemudian mengikut arahan suspek dengan memberi maklumat akaun miliknya dan turut membuka akaun bank bagi tujuan dana ikat jamin kerana terlalu takut.

"Awal Disember lalu, mangsa menyemak akaun bank miliknya dan mendapati berlaku pengeluaran wang ke akaun pihak ketiga sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM92,000 iaitu wang pencen mangsa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam kes terbabit, Ramli berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak melayan panggilan daripada nombor atau pihak yang tidak dikenali.

"Jangan takut atau cemas jika dimaklumkan terbabit dengan jenayah.

"Selain itu, jangan sesekali mendedahkan maklumat perbankan atau kewangan kepada mana-mana individu.

"Harus diingat bahawa pihak penguatkuasa tidak menjalankan siasatan melalui panggilan telefon.

"Semak dengan pihak berkaitan sebelum meneruskan urusan atau transaksi bayaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 9:57 PM