RUZIANA bersama suami dan anak kembarnya sebelum kejadian ditimpa pokok tumbang di Zoo Melaka. FOTO Ihsan Ruziana Ahmad Bustaman
RUZIANA bersama suami dan anak kembarnya sebelum kejadian ditimpa pokok tumbang di Zoo Melaka. FOTO Ihsan Ruziana Ahmad Bustaman
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: "Saya terdengar bunyi rekahan kuat dan sekelip mata pokok itu tumbang menimpa kami. Kami tidak sempat berbuat apa-apa dan saya hanya mampu menjerit Allahuakhbar," kata ahli perniagaan, Ruziana Ahmad Bustaman, 40, mengenai kejadian pokok tumbang di Zoo Melaka, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, Ruziana Ahmad mengalami retak tulang pinggul dan cedera di bahu, manakala anak lelakinya, Muhammad Fattah Danish, 6, cedera lebam di kaki dan luka di kepala.

Manakala seorang lagi mangsa, Azizul Azami, 43, turut mengalami retak pada kaki kanan akibat ditimpa pokok berkenaan.

Menurut Ruziana sebelum kejadian dia bersama suami (Mohd Fazli Sukree, 45) dan dua anak kembar mereka menaiki E-Bus yang disediakan pihak zoo dan berhenti di tempat kejadian untuk melihat harimau kumbang.

"Kami datang bersama tiga keluarga seramai 15 orang, saya dan suami bersama keluarga masing-masing sementara rakan suami saya, Azizul bersama keluarganya.

"Selepas menaiki E-Bus kami berhenti untuk melihat harimau bintang dengan saya berjalan sambil memegang Fattah Danish di hadapan.

"Suami berada agak jauh dan di belakang saya pula pembantu rumah yang memegang seorang lagi anak kembar saya, Muhammad Fatteh Danish dan Azizul bersama anak kecilnya.

"Ketika menuruni jalan di situ, tiba-tiba saya terdengar bunyi rekahan diikuti pokok tumbang menimpa kami," katanya dihubungi di sini.

Ruziana berkata, anaknya menjerit meminta tolong namun dia tidak mampu bangun untuk menyelamatkannya kerana berasa teramat sakit pada bahagian pinggul sebelum mereka dibantu petugas zoo.

"Allah maha kaya apabila Fattah Danish terselamat di tengah-tengah dahan berbentuk 'Y' yang menimpanya dan hanya mengalami lebam di kaki dan luka di kepala.

"Saya lihat Azizul menjerit kesakitan dan tidak dapat bergerak akibat ditimpa dahan pokok tumbang itu sebelum diselamatkan," katanya.

Ruziana dan rakannya itu kini menjalani rawatan lanjut termasuk fisioterapi di sebuah pusat perubatan swasta di Kajang, Selangor selepas dipindahkan dari Hospital Melaka, malam tadi, manakala anaknya diberi rawatan pesakit luar.

Mengulas lanjut Ruziana berkata, dia bersyukur kerana dirinya dan anak-anak terselamat dalam kejadian itu, namun berharap pengurusan Zoo Melaka mengambil tindakan proaktif memantau pokok di situ.

"Saya perhatikan dahan pokok di zoo merimbun dan seperti tidak terurus, bimbang jadi pada orang lain pula hingga menyebabkan kehilangan nyawa.

"Memang mudah untuk memohon maaf, tapi ini berlaku pada saya dan anak yang saya tunggu selama lapan tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2023 @ 4:52 PM