Kita tahu setiap hobi ada cabaran tersendiri. Namun, melihat keberanian dua remaja ini mencuba benda baru cetuskan pandangan berbeza buat SHUHADA MANSOR mengenai keunikan sukan ekstrem sedia ada.

Apabila disuarakan hobi berkaitan generasi muda, ia sering dikaitkan dengan beberapa sukan popular seperti bola sepak, futsal, larian, skateboard, berbasikal dan beberapa jenis sukan lain. Sukan memanjat dinding ataupun 'rock climbing' jarang sekali dikaitkan dengan anak muda.

Bukannya tidak ada peminat tersendiri tetapi remaja lebih suka memilih sukan yang dimonopoli majoriti. Sudahnya, bagi yang tercari-cari hobi untuk mengisi masa lapang, futsal dan bola sepak menjadi pilihan utama.

Namun bagi dua anak muda ini, Rock climbing mungkin tidak memerlukan penerangan lanjut kerana yang jelas, kita tahu ia berkaitan aktiviti memanjat dinding batu. Hakikatnya, sukan ini bukan hanya berkaitan perihal memanjat, tetapi ia memerlukan teknik jauh berbeza daripada sukan lain.

Takut badan berotot

Kebiasaannya kita akan nampak sukan ekstrem dimonopoli golongan lelaki namun bagi Siti Ruziana Fiza Mohd Zain, 22, tiada apa yang mampu menghalang jika kita yakin boleh melakukannya walaupun tahap kekuatan berbeza.

Pelajar jurusan Sains dan Tekstil Teknologi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, dia meletakkan sasaran peribadi sendiri untuk mahir dalam sukan ini meskipun pada awalnya mendapat tentangan keluarga.

"Awalnya memang keluarga kurang galakkan saya pilih sukan ini. Iyalah, kalau hanya hobi biasa mungkin tak apa tapi saya makin fokus dengan masuk pertandingan dan sebagainya. Lagipun, sukan ini tak banyak disertai golongan perempuan.

"Ibu yang paling susah hati apabila tengok lengan saya makin berotot. Dia takut lama-lama nanti badan saya akan nampak seperti lelaki tapi saya berjaya yakinkan dia yang keadaan fizikal tak akan berubah mendadak seperti pemain gym. Lama-lama dia dapat terima dan ikuti perkembangan minat saya sampai sekarang," katanya.

Bukan hobi kosong

Ruziana berkata, minatnya bukan setakat hobi dilakukan jika ada masa terluang tetapi lebih serius dengan memasuki beberapa pertandingan termasuklah luar daripada peringkat universiti.

Katanya, setakat ini dia pernah memasuki beberapa pertandingan antaranya Kelantan Rock Climbing 2013 dan Rock Conquest anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi UiTM (KRESMA).

"Walaupun baru setahun tempoh saya memanjat tapi saya yakin hobi ini boleh tarik ramai anak muda. Ia boleh diketengahkan kerana setiap tahun saya boleh lihat makin ramai muka baru yang muncul dan makin banyak pertandingan dianjurkan.

"Awalnya saya tak suka rock climbing kerana takutkan ketinggian tapi ajakan kawan yang paksa saya untuk cuba pada kali pertama terus dapat berjaya ubah persepsi saya. Kita akan dapat rasa perasaan berbeza ketika memanjat sampai boleh lupa rasa gayat. Susah nak gambarkan, cuba dulu baru tahu, " katanya yang sudah menawan dinding batu di Gua Musang, Gua Damai dan lokasi memanjat di Jerantut, Pahang.

Setiap yang kita lakukan pasti ada target tersendiri. Bagi Ruziana, sasarannya untuk menjuarai beberapa pertandingan penting untuk rekod sendiri dengan mengekalkan momentum pendakian yang cantik tanpa ada jatuhan.

Tak boleh takut

Pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik UiTM, Muhammad Azwab Zainal, 24, pula menjelaskan sukan ini mengajarnya untuk atasi rasa takut.

Katanya, banyak perkara boleh kita takutkan apabila memanjat seperti luka di tangan, takut jatuh, takutkan ketinggian dan sebagainya. Oleh itu, berkecimpung dalam hobi lebih dua tahun lalu banyak mengajarnya untuk mengatasi beberapa kelemahan diri.

"Saya boleh dikategorikan masih baru dalam sukan ini tapi walaupun baru setahun jagung, saya tak pernah ada pelan untuk berhenti. Malah, saya ada beberapa lokasi panjat impian untuk saya realisasikan dan antaranya di Pulau Tioman dinamakan Dragon Horn.

"Saya pernah ditanya kenapa tak sertai bola sepak atau sukan lain yang popular kerana lebih mudah daripada segi mencari tempat dan kongsi idea kerana ramai peminat tegar, sukar nak jawab. Mungkin minat saya lebih terarah kepada perkara lebih ekstrim jadi sebab itulah saya pilih rock climbing," katanya.

Bukan hobi mahal

Menurut Azwan, apa saja sukan memerlukan kelengkapan tersendiri. Sukan ini tidak terkecuali dan dia juga mengakui, ia bukanlah sukan yang terlalu mahal untuk dibelanjakan. Peralatan memanjat boleh dibeli sedikit demi sedikit bermula dengan kasut dan akhir sekali adalah elemen utama iaitu tali.

"Sebagai pelajar memang tak mampu untuk beli semua kelengkapan sekali gus tapi kalau dah minat, kita akan cuba dapatkannya.

"Sukar untuk mengajak orang mencuba sesuatu yang baru kerana perlu ada minat sendiri dan rasa nak cuba. Nasihat saya untuk mereka yang ingin cuba, teruskan dan jangan ragu-ragu. Cuba sekali dan jika tidak kena dengan cita rasa, boleh abaikan tapi selalunya ramai yang 'jatuh cinta' dengan sukan panjat dinding batu ini pada kali pertama mencuba," katanya yang berpendapat Gua Keteri, Perlis antara lokasi memanjat paling sukar setakat ini.

Lakukanlah apa yang boleh membuatkan kita gembira, namun perlulah pilih jalan yang betul untuk laluan masa depan lebih sihat, berpengaruh dan bergaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:02 AM