LOKASI kejadian pokok tumbang di Zoo Melaka yang menyebabkan tiga pengunjung cedera. FOTO Ihsan PDRM
LOKASI kejadian pokok tumbang di Zoo Melaka yang menyebabkan tiga pengunjung cedera. FOTO Ihsan PDRM
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Tiga pengunjung termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera selepas dihempap pokok tumbang ketika berkunjung ke Zoo Melaka, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang semalam, ketiga-tiga mangsa iaitu Azizul Azami, 43, Ruziana Ahmad Bustaman, 40, dan anak lelakinya, Muhammad Fattah Danish Mohd Fazli sedang berada di kawasan kandang harimau untuk melihat pameran haiwan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata sebelum itu mangsa yang datang bersama keluarga masing-masing seramai 15 orang menyewa perkhidmatan E-Bus yang disediakan pihak zoo untuk bersiar melihat pameran haiwan pada jam 2.05 petang.

Katanya, sebaik tiba di kawasan kejadian mereka turun daripada kenderaan, sebelum secara tiba-tiba pokok tumbang dan menimpa mereka yang berjalan di hadapan pengunjung yang lain.

"Azizul mengalami retak kaki kanan, wanita itu retak tulang pinggul dan anak lelaki berusia enam tahun cedera ringan.

"Ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut menaiki ambulans dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

"Kejadian tidak membabitkan pengunjung lain dan kawasan itu sudah dibersihkan oleh pihak Zoo Melaka dan agensi berkaitan," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu,Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab sewajarnya terhadap pengunjung berasal dari Kajang, Selangor itu.

"Kejadian pokok tumbang itu di luar jangka dan pihak MPHTJ menanggung segala kos perubatan mangsa, termasuk menguruskan kenderaan mereka pulang ke rumah.

"Pokok tumbang berkemungkinan disebabkan faktor hujan berlarutan sejak jam 2 pagi semalam menyebabkan struktur tanah longgar dan kerja-kerja pemantauan terus dilakukan bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2023 @ 4:40 PM