LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Pemandu kereta Perodua Myvi yang hampir lemas bersama dua rakannya di sebuah tasik di Kampung Parit Jorak Elahi, Bukit Pasir tengahari tadi, mungkin mengalami masalah pada brek kereta.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisoner Ismail Dollah berkata, semua mangsa yang berusia antara 25 tahun hingga 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pihaknya masih menyiasat punca sebenar dan mangsa masih belum membuat laporan polis.

"Lebih kurang 1.30 tengahari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima maklumat dari orang awam menyatakan satu kemalangan jalanraya membabitkan sebuah motokar terbabas masuk ke dalam tasik di Jalan Bukit Pasir.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa motokar berkenaan yang dipandu oleh seorang lelaki bersama dua rakan perempuannya dalam perjalanan dari arah Tongkang Pechah menghala ke arah Batu Pahat.

"Bila sampai di tempat kejadian, motokar yang dipandu hilang kawalan lalu terbabas dan terus masuk ke dalam tasik di sebelah kanan jalan, dengan bantuan orang awam ketiga - tiga mangsa sempat keluar sebelum motokar tersebut tenggelam," katanya ketika dihubungi.

Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan semasa memandu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang lelaki sanggup menggadai nyawa menyelamatkan tiga individu hampir lemas selepas Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas dan terjatuh ke dalam tasik dekat Kampung Jorak Elahi, Bukit Pasir, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 10:31 PM