ANTARA mangsa dan waris keluarga yang hadir beramah mesra bersama anggota agensi penyelamat yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat tragedi tanah runtuh Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ANTARA mangsa dan waris keluarga yang hadir beramah mesra bersama anggota agensi penyelamat yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat tragedi tanah runtuh Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Pasukan penyelamat tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, di Batang Kali, dekat sini menerima penghargaan daripada Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Batang Kali dan keluarga mangsa.

Majlis yang dihadiri wakil 10 agensi penyelamat dan wakil keluarga mangsa itu adalah bagi menghargai sumbangan penyelamat yang terbabit dalam misi mencari mangsa tragedi berkenaan.

Penyelaras Dun Batang Kali, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, operasi mencari dan menyelamat adalah sesuatu yang sukar terutama membabitkan tragedi yang besar.

"Kita sendiri dapat lihat betapa mereka ini tidak pernah mengenal erti penat dan lelah dalam mencari mangsa yang terbabit dalam tragedi tanah runtuh itu.

"Jadi saya rasa ini adalah satu peluang untuk kita berikan penghargaan kepada mereka yang berkampung selama sembilan hari di kawasan tragedi," katanya ketika ditemui pada Majlis Penghargaan anggota penyelamat tragedi tanah runtuh di Batang Kali, hari ini.

Terdahulu, Dr Sathia menyampaikan plak dan sumbangan bernilai RM2,000 kepada agensi terbabit.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, pihaknya amat terharu menerima penghargaan daripada pelbagai pihak termasuk keluarga.

"Ini adalah tanggungjawab kami sebagai anggota penyelamat, pengalaman ini tidak akan kami lupakan.

"Kami juga sudah mencuba sedaya upaya bagi menyelamatkan mangsa, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang turut hadir hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 11:11 PM