PASUKAN penyelamat pelbagai agensi selepas mangsa terakhir ditemukan, semalam. FOTO Asyraf Hamzah
PASUKAN penyelamat pelbagai agensi selepas mangsa terakhir ditemukan, semalam. FOTO Asyraf Hamzah
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Semangat kerjasama dan keprihatinan semua pihak tanpa mengira penat lelah antara faktor kejayaan sepanjang sembilan hari misi mencari dan menyelamat (SAR) hingga semua 31 mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor ditemukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri

(Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, negara merakamkan penghargaan buat seluruh ahli pasukan daripada pelbagai agensi kerajaan yang bertungkus lumus dalam operasi SAR berkenaan.

Katanya, biarpun insiden Batang Kali itu dalam kategori Tahap I dikendalikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Hulu Selangor, namun bantuan dan kerjasama turut datang daripada pelbagai pihak di peringkat kepimpinan pusat dan negeri.

"Tanpa mengira penat lelah dan keadaan sukar yang ditempuhi di lokasi kejadian termasuk keadaan cuaca, operasi SAR diteruskan sehingga semalam semua mangsa telah dijumpai dan operasi dihentikan sepenuhnya.

"Ucapan terima kasih kepada Pegawai Daerah Hulu Selangor selaku Pengerusi JPBD, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor selaku Komander Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan semua pihak terbabit dalam setiap aspek pengurusan bencana tanah runtuh ini.

"Selain pasukan tindak balas bantuan pencari dan penyelamat, pelbagai pihak terbabit di barisan hadapan seperti pasukan bantuan kebajikan dan kesihatan, pasukan teknikal dan logistik, penerangan dan media, badan sukarela dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta banyak lagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah buat semua 92 orang mangsa dan ahli keluarga terbabit.

"Kita bersyukur kerana 61 mangsa berjaya diselamatkan dan amat berdukacita dengan kematian 31 mangsa," katanya.

Katanya, kini fokus negara untuk pengurusan pasca bencana termasuk penyaluran bantuan kepada mangsa dan ahli keluarga terbabit.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan membantu penyaluran bantuan segera sebaik mendapat data dan maklumat daripada agensi yang bertanggungjawab iaitu JPBD.

"Semua rakyat Malaysia masih perlu terus bersiap siaga kerana kita masih belum keluar sepenuhnya dari tempoh fenomena Monsun Timur Laut 2022/2023.

"Sentiasa peka kepada informasi dan amaran serta patuhi nasihat agensi berwajib demi keselamatan bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 1:27 PM