LAI Choon Seng memegang gambar mendiang Lai Lee Yin ditemani ibu bapanya. FOTO Genes Gulitah.
LAI Choon Seng memegang gambar mendiang Lai Lee Yin ditemani ibu bapanya. FOTO Genes Gulitah.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Hampir sebulan pemergian serentak tiga insan tersayang dalam tragedi tanah runtuh Batang Kali, Selangor pertengahan bulan lalu, kehidupan pasangan warga emas ini terasa kosong dan sunyi.

Lai Ah Kau dan Chong Mui Tiau masing-masing berusia 78 dan 70 tahun hilang dua anak perempuan, Lai Lee Koon, 46, dan Lai Lee Yin, 37, serta cucu berusia sembilan tahun dalam tragedi itu.

Kata Chong, dia terkenang masa bersama tiga insan istimewa itu terutama keletah cucunya yang kerap berkunjung di rumahnya di Batu Caves, Selangor selepas waktu sekolah.

"Setiap hari selepas habis waktu sekolah, Lee Koon akan balik dengan anak dia makan di rumah kami.

"Kami terima kehilangan mereka tetapi memang terasa sangat sunyi," katanya selepas menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di premis perniagaan milik anaknya di Bandar Baru Sentul, di sini, pagi tadi.

P Prabakaran (dua kanan) bersama Mohamad Ngasri (kanan) menyampaikan faedah Perkeso kepada keluarga mendiang Lai Lee Yin, hari ini. FOTO Genes Gulitah.
P Prabakaran (dua kanan) bersama Mohamad Ngasri (kanan) menyampaikan faedah Perkeso kepada keluarga mendiang Lai Lee Yin, hari ini. FOTO Genes Gulitah.

Hadir menyampaikan sumbangan Pengarah Perkeso Wilayah Kuala Lumpur, Mohamad Asri Ngosman serta Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.

Dalam kunjungan itu, Mohamad Asri menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) bernilai RM2,000 serta Faedah Pencen Penakat kepada dua pasangan itu.

Lai dan Chong layak menerima Faedah Pencen Penakat bernilai RM1,004.25 sebulan sepanjang hayat berikutan anak bongsunya, Lee Yin adalah pencarum Perkeso.

Sementara itu, anak sulung pasangan itu, Lai Choon Seng, 46, berkata, mereka sekeluarga menyifatkan manfaat Perkeso diterima itu sebagai hadiah peninggalan adik bongsunya kepada ibu bapa mereka.

"Walaupun kami adik beradik mampu membiayai perbelanjaan mak dan ayah, tetapi wang ini macam 'hadiah' peninggalan mendiang adik untuk mereka," katanya.

Pada 16 Disember lalu, tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor mengorbankan 31 mangsa manakala 61 mangsa lagi terselamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 1:08 PM