Nornazliatul Aqilah Nazri, 26, menunjukkan gambar arwah suaminya, Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28, yang meninggal dunia akibat tragedi kepala air di Pusat Rekreasi Titi Hayun, Rabu lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Nornazliatul Aqilah Nazri, 26, menunjukkan gambar arwah suaminya, Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28, yang meninggal dunia akibat tragedi kepala air di Pusat Rekreasi Titi Hayun, Rabu lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Gurun: "Arwah sempat hantar video mengenai kejadian kepala air di tempat dia bekerja sebelum saya menghubunginya dan dia menjerit pokok tumbang, selepas itu talian terputus," kata Nornazliatul Aqilah Nazri, 26.

Balu kepada mangsa tragedi kepala air, Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28, berkata, dia tidak menyangka itu kali terakhir dia bercakap dengan suaminya, sebelum mayatnya ditemui di muara laut Sungai Udang pada jam 3.10 petang, Khamis lalu.

Katanya, dia reda dengan pemergian suaminya walaupun masih dalam keadaan terkejut dengan kejadian yang berlaku.

"Suami saya sudah enam hari bekerja membina pondok di Pusat Rekreasi Titi Hayun, bersama majikannya, arwah Ahmad Din, 64, dan seorang lagi pekerja warga Indonesia dikenali dengan nama Wan.

"Selepas gagal menghubungi suami, saya cuba menghubungi majikan suami, dia juga gagal dihubungi. Ketika itu saya sudah tidak sedap hati sehingga mayat Ahmad ditemui pada hari sama.

"Pada hari Khamis, saya ke Titi Hayun menunggu operasi pencarian sehinggalah saya dipanggil membuat pengecaman mayat di muara Sungai Undang," katanya.

Ibu kepada dua anak ini berkata demikian ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Batu 2, Gurun, ketika penyerahan bayaran faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit dan Pengarah Perkeso Kedah, Mohamad Haron Othman.

Nornazliatul menerima faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 dan Faedah Pencen Penakat sebanyak RM893 sebulan.

Nornazliatul berkata, dia akan menggunakan wang Pencen Penakat Perkeso untuk membesarkan dua anak lelakinya yang berusia lima dan setahun.

"Saya akan guna wang ini sebaik mungkin untuk pelajaran anak, terima kasih kepada Perkeso kerana memudahkan urusan pembayaran faedah ini dengan cepat.

"Dulu suami saya pernah bekerja sebagai pembantu dapur di sebuah hotel di Pulau Pinang. Selepas berhenti kerja hujung tahun lalu, kami berpindah ke Gurun dan suami mengambil upah menjadi tukang rumah dengan pendapatan tidak menentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 6:10 PM