Mohamed Farid Noh

Kota Tinggi: Suami mangsa kemalangan maut di Kilometer 45.7 Lebuhraya Plus Utara Selatan, arah selatan, berhampiran Sedenak, pada 15 Oktober lalu, menerima bayaran pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hari ini.

Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang berkata, hasil semakan Skuad Perkeso Prihatin, mangsa kejadian, Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28, adalah orang berinsuran (OB).

"Jadi, waris layak menerima faedah Perkeso membabitkan faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000.

"Suami mangsa, Redzuan Jamil, 30, turut layak menerima pencen penakat berjumlah RM698.50 seumur hidup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis serahan cek faedah pengurusan mayat di kediaman keluarga Allahyarham di Kampung Lukut Batu 4, di sini, hari ini.

Adham  (dua dari kiri) bersama Tong Sing Chuang (tengah)  ketika di rumah Redzuan Jamil (tiga dari kanan) di Kampung Batu 4, Kota Tinggi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Adham (dua dari kiri) bersama Tong Sing Chuang (tengah) ketika di rumah Redzuan Jamil (tiga dari kanan) di Kampung Batu 4, Kota Tinggi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Dalam nahas kira-kira 7.45 petang pada 15 Oktober lalu, Nurul Nazihah, maut terbakar selepas dipercayai tersepit di tempat duduk penumpang hadapan selepas sebuah lori merempuh kenderaan dinaiki Allahyarham bersama suaminya.

Bagaimanapun, suami mangsa, Redzuan berjaya ditarik keluar dari kereta itu oleh orang awam di lokasi kejadian.

Hadir sama, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba yang juga penyandang kerusi Parlimen Tenggara.

Sementara itu, Redzuan terharu dengan keprihatinan Perkeso yang proaktif membantu waris mangsa kemalangan.

Beliau turut meminta orang ramai supaya mengambil tahu mengenai faedah yang disediakan Perkeso bagi membantu golongan pekerja yang ditimpa kemalangan.

"Menerusi pencen penakat disediakan Perkeso ini, ia amat membantu waris.

"Saya harap orang ramai termasuk yang bekerja sendiri boleh mencarum kerana Perkeso menyediakan perlindungan untuk mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 5:33 PM