Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Waris kepada Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, pengarang portal hiburan yang meninggal dunia akibat barah, di London, layak menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sejak Disember 2002, Allahyarham Siti Nor Hafiza sudah berkhidmat di tujuh syarikat berbeza.

"Berdasarkan rekod caruman Perkeso milik Siti Nor Hafiza, mendapati keluarganya layak untuk menerima bayaran berkala Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,975 setiap bulan dan FPM sebanyak RM2,000 secara sekali bayar, menerusi Skim Keilatan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Roshdi Ramli suami kepada wartawan itu, layak mendapat faedah Perkeso untuk sepanjang hayat dan kedua-dua anaknya diberikan manfaat sama sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin serta boleh dilanjutkan sekiranya ingin menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama.

"Pihak Perkeso juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan berharap faedah ini dapat membantu mereka meneruskan kehidupan," katanya ketika mengadakan Ziarah Prihatin di kediaman waris wartawan terbabit.

Mohammed Azman (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada keluarga arwah Siti Nor Hafiza
Mohammed Azman (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada keluarga arwah Siti Nor Hafiza

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al Haddad atau Altimet.

Terdahulu, bagi membiayai kos membawa pulang jenazah wartawan hiburan berkenaan ke tanah air turut mendapat perhatian ramai.

Rakyat Malaysia juga menyalurkan derma melalui tabung Bantulah Fiza. Sumbangan derma yang diterima daripada pihak artis, media dan orang ramai ini disalurkan melalui Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dan sebanyak RM50,000 sudah disalurkan kepada keluarga arwah Siti Nor Hafiza pada Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 4:05 PM